Mahkamah enggan keluar waran tangkap saksi tak hadir kes rasuah Guan Eng

Mahkamah enggan keluar waran tangkap saksi tak hadir kes rasuah Guan Eng

Hakim Azura Alwi menolak permohonan pasukan guaman bekas ketua menteri itu agar waran tangkap dikeluarkan terhadap saksi yang dikatakan sakit itu.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Lim Guan Eng agar waran tangkap dikeluarkan terhadap saksi penting dalam kes rasuah terowong dasar laut dihadapinya.

Hakim Azura Alwi berkata, beliau tidak berhasrat mengarahkan ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli ditangkap, walaupun pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil cuti sakit untuk saksi yang tidak hadir itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah, Zarul tidak dapat hadir hari ini kerana sakit.

“Kami baru mengetahuinya (keadaan Zarul) pagi ini,” katanya sambil menambah, pihak pendakwaan akan meminta Zarul mengemukakan sijil cuti sakitnya pada sidang akan datang, dijadualkan pada 7 Jun.

Zarul sepatutnya mendapatkan sijil cuti sakit untuk membuktikan dia tidak mampu hadir ke mahkamah, kata peguam RSN Rayer.

Azura bagaimanapun berkata, beliau akan meneliti sebab ketidakhadiran Zarul hari ini pada sidang akan datang.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong itu, dan menerima sogokan sejumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu antara 2011 dan 2017.

Dia juga didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.7 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.