
Antara syarat itu ialah SSER mengeluarkan dana pinjaman dari The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), serta membayar RM8.3 bilion atau 88% daripada kos pembinaan RM9.4 bilion bagi kedua-dua projek itu kepada kontraktor China, Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP), walaupun kemajuan kerja hanya 13%.
Hakim, Manira Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas SSER yang diwakili Kishan Narendra Jasani, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas 6 pertuduhan bagi pihak syarikat dan semasa ditanya hakim apa jawatannya dalam syarikat itu, Kishan berkata, beliau hanya wakil syarikat itu.
Dalam penghakimannya, Manira berkata, kesalahan SSER boleh memberi kesan negatif kepada kepentingan awam dan ekonomi negara serta hukuman itu bertujuan memberi pengajaran kepada SSER dan syarikat lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
SSER didenda RM3 juta bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan RM18 juta.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-3, SSER didakwa gagal mematuhi syarat di bawah kelulusan bertulis bertarikh 13 April 2017 yang diberikan BNM di bawah Subseksyen 214(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi memperoleh pinjaman mata wang asing daripada bukan pemastautin, yang mana SSER mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tanpa mengikut kemajuan projek MPP.
SSER juga gagal memastikan amalan tadbir urus baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek MPP serta gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa pelaksanaan projek MPP.
Bagi pertuduhan ke-4 hingga ke-6, SSER didakwa atas pertuduhan sama, iaitu gagal mematuhi syarat BNM kerana mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek TSGP serta gagal memastikan amalan tadbir urus baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek TSGP serta gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa pelaksanaan projek TSGP.
Semua pertuduhan dilakukan di tingkat 9, Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas, No 1, Jalan Dutamas 1, di sini antara April 2017 hingga Mei 2018 mengikut Subseksyen 214(9) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.
Peguam, Lawrence Tan Kim Kai memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minima dengan alasan syarikat itu pertama kali didakwa di mahkamah dan kini dikendalikan pengurusan baru.
Pegawai pendakwa BNM, Nurdeenie Abdul Rashid memohon SSER dijatuhi hukuman setimpal, mengambil kira kesalahan itu adalah serius kerana melanggar syarat dikenakan BNM yang boleh menjejaskan kedudukan imbangan pembayaran Malaysia, status Malaysia sebagai negara “solvent” serta nilai ringgit merosot berbanding mata wang lain di dunia.
“SSER adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (diperbadankan), kerajaan Malaysia telah melantik SSER sebagai pemilik dan peneraju dalam melaksanakan projek TSGP dan MPP.
“Tanggungjawab melaksanakan projek diamanahkan oleh rakyat Malaysia, memandangkan pembayaran hutang projek itu akan menggunakan hasil negara, tetapi SSER gagal melaksanakan amanah, malah bertindak tanpa mengambil kira kepentingan rakyat apabila membayar sejumlah besar wang kepada kontraktor China, CPP sedangkan projek belum dapat dilihat langsung.”
MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600km yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson ke Jitra di Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.
TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.
Pada 22 Julai 2016, SSER mendapat kelulusan Kabinet untuk melaksanakan kedua-dua projek bernilai RM9.4 bilion itu dan diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016.
SSER membuat bayaran RM8.3 bilion atau 88% daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, meskipun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13%.
Kedua-dua projek TSGP dan MPP antara SSER serta CPP ditamatkan kerajaan Malaysia berkuat kuasa 6 September 2018.