
Menurut sumber parti, seorang pemimpin dari Malaysia Timur berkemungkinan dinamakan untuk salah satu jawatan tersebut, dengan pelantikan itu dijangka menarik perhatian khusus menjelang PRN Sabah.
“Mesyuarat akan diadakan pada Sabtu ini. Kemungkinan besar parti akan melantik tiga naib presiden,” kata sumber itu kepada FMT.
Senator Abun Sui Anyit dikatakan antara nama yang disebut-sebut sebagai calon dari Sarawak. Namun, kekalahan beliau dalam pemilihan bagi empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan mungkin menjejaskan peluangnya.
“Ada pandangan yang mengatakan tidak adil untuk melantiknya kerana beliau tidak menang dalam pemilihan pimpinan pusat,” kata sumber itu lagi.
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, yang juga timbalan menteri pendidikan tinggi, turut disebut sebagai antara calon utama untuk jawatan tersebut.
PKR secara tradisinya mengekalkan keseimbangan perwakilan wilayah dalam kepimpinannya, dan mesyuarat esok dijangka mencerminkan usaha parti memperkukuh kehadiran di Malaysia Timur menjelang PRN Sabah dan Sarawak.
Sabah perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya hujung tahun ini, manakala Sarawak dijadual mengadakan PRN selewat-lewatnya April 2027.
Dalam pemilihan PKR bulan lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, dan menteri persekutuan Chang Lih Kang dipilih sebagai naib presiden untuk penggal 2025-2028.
Amirudin dan Ramanan – yang sehaluan dengan Timbalan Presiden baharu Nurul Izzah Anwar – masing-masing memperoleh jumlah undi tertinggi dan kedua tertinggi, diikuti Aminuddin dan Chang yang berada dalam kem Rafizi Ramli.
Tiga naib presiden lantikan yang berkhidmat dari 2022 hingga 2025 ialah Nurul Izzah, Senator K Saraswathy, dan bekas Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari.