
Dalam hantaran ringkas di X malam tadi, Ketua PKR Perlis, Noor Amin Ahmad, berkata beliau turut hadir dalam mesyuarat itu dan tidak menyaksikan pergaduhan besar.
“Tak tahu pula ada gaduh besar. Tak rasa ada tinggi suara sampai dekat setengah jam,” kata bekas Ahli Parlimen Kangar.
Maszlee Malik turut menyatakan dakwaan Rafizi dalam episod terbaru podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ adalah tidak berasas dan keterlaluan.
Bekas menteri pendidikan berkata, beliau dan majoriti yang hadir dalam mesyuarat itu menjadi saksi tiada sebarang pertengkaran atau jeritan berlaku, bertentangan versi Rafizi.
“Presiden tidak seminit pun menjerit dalam mesyuarat terakhir MPP berhubung pemilihan parti.
“Siapa yang mengatakan bahawa presiden menjerit memarahinya selama 20 minit pada mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun berhalusinasi atau penghidap skizofrenia yang kronik,” katanya di Facebook.
Rafizi sebelum ini mendakwa ditegur dengan keras oleh Anwar susulan kritikan terhadap sistem pengundian digital parti, yang menurutnya tidak telus.
Ahli Parlimen Pandan turut menyuarakan kebimbangan mengenai aspek teknikal sistem itu termasuk kod sumber, pelayan (server), dan penggunaan ‘blockchain’, yang didakwanya terdedah kepada manipulasi.