
Penggunaan straw plastik sememangnya tidak digalakkan memandangkan penggunaan plastik dilihat mencemarkan alam sekitar ekoran ia sukar untuk dilupuskan.
Malah kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan akan menguatkuasakan larangan penggunaan straw plastik bermula tahun depan.
Dan atas kesedaran akan kepentingan memelihara alam sekitar, restoran terkemuka D’Tandoor dan semua rangkaian perniagaannya termasuk di luar negara tidak akan menggunakan penyedut minuman plastik berkuat kuasa serta-merta.
Pengurus Besar D’Tandoor, Amir Malik berkata tempoh peralihan kepada penggunaan penyedut minuman jenis biodegradasi bagi menggantikan straw plastik itu telah dimulakan sejak Januari lalu.

“Langkah ini diambil bagi menyahut seruan kerajaan terhadap larangan penggunaan penyedut minuman atau straw plastik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang dikuatkuasakan pada tahun ini.
“Walaupun larangan hanya melibatkan Wilayah Persekutuan, namun kami mengambil peluang itu untuk memperkenalkan penggunaan straw ‘mesra alam sekitar’ di semua restoran D’Tandoor termasuk cawangan di Arab Saudi, Kemboja dan Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen ‘The Last Straw’ di Putrajaya yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Amir berkata langkah yang diperkenal pihaknya di luar negara mendapat pujian ramai pengunjung restoran yang menyifatkan Malaysia mengambil langkah bijak apabila menguatkuasakan larangan penggunaan straw plastik.

Malah katanya, bagi D’ Tandoor meskipun harga straw jenis biodegradasi lebih mahal berbanding straw plastik namun ia bukan satu halangan.
Ini kerana beliau yakin langkah yang diambil kerajaan memberi kebaikan besar kepada rakyat, alam sekitar dan negara.
Beliau berkata penyedut minuman yang digunakan bagi menggantikan straw plastik di restoran D’Tandoor itu diimport dari Indonesia dengan kos 6 sen sebatang iaitu lebih 3 sen daripada harga straw plastic yang dipakai sekarang ini oleh kebanyakan restoran.
Pandangan itu turut disokong oleh Khalid yang memuji langkah awal yang diambil D’Tandoor sambil menyifatkan sepatutnya menjadi contoh kepada restoran lain yang sewajarnya memulakan langkah kurangkan penggunaan plastik mulai sekarang.

“Bagi orang yang cintakan keindahan, alam sekitar maka D’Tandoor antara yang terawal bersama-sama dengan kempen-kempen seperti ini. Jadi ia bagus dalam menerapkan kesedaran.
“Penguatkuasaan adalah tahun depan dan tahun ini adalah tahun pengenalan, jadi kita harap semua orang akan tukar kepada alternatif ini secara berperingkat-peringkat kerana di Wilayah kita dah nampak banyak yang dah tukar termasuklah penggunaan beg plastik kepada yang biodegradasi,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]