Lembaga alam sekitar Sarawak akan jadi badan korporat, kata Abang Johari

Lembaga alam sekitar Sarawak akan jadi badan korporat, kata Abang Johari

Premier Sarawak berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri akan diberi kuasa untuk menjana hasil sendiri, mengurus projek dan memacu industri sisa kepada nilai.

Abang Johari Openg berkata agensi berkaitan alam sekitar Sarawak seperti NREB harus mengamalkan disiplin korporat yang dilihat dalam entiti milik kerajaan Petroleum Sarawak Bhd dan Sarawak Energy Bhd. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan bahawa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) akan ditukar menjadi sebuah korporat bagi memperluas fungsi dan meningkatkan autonomi serta keupayaan perniagaannya.

Borneo Post yang memetik Abang Johari sebagai berkata, di bawah penstrukturan semula yang dirancang itu, lembaga berkenaan akan diberi kuasa untuk menjana hasil sendiri, mengurus projek, dan memacu industri sisa kepada nilai.

“Kita mahu lembaga ini beroperasi secara bebas, bukan sebagai jabatan kerajaan biasa tetapi sebagai entiti korporat strategik dengan skim perkhidmatan tersendiri dan akauntabiliti kepada pemegang saham,” katanya semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan NREB di Kuching malam tadi.

Tambahnya, langkah itu a kan disokong oleh reformasi institusi seperti penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan dan penubuhan sistem perkhidmatan bersepadu bagi memperkemas operasi.

Beliau turut berkata undang-undang pemungutan sisa mandatori akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang bagi menyokong industri sisa kepada nilai tersebut.

“Inilah tanda kebebasan Sarawak dalam tadbir urus alam sekitar. Kini kita mempunyai kebebasan untuk menetapkan piawaian sendiri dan mengurus sumber kita mengikut keperluan kita,” kata Abang Johari yang juga menteri pembangunan bandar dan sumber asli.

Beliau berkata agensi berkaitan alam sekitar di Sarawak seperti NREB perlu mengamalkan disiplin korporat seperti yang diamalkan oleh entiti milik kerajaan negeri Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Sarawak Energy Bhd (SEB).

Abang Johari turut menjelaskan bahawa kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara dan pemegang saham, manakala agensi akan beroperasi secara komersial, menjana pendapatan serta memberi ganjaran berdasarkan prestasi.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024, yang bertujuan memberi kuasa penuh kepada negeri untuk melaksanakan tanggungjawab dalam bidang utama alam sekitar seperti pemuliharaan sumber, pengurusan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembangunan lestari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.