RMK13: Kurang kebergantungan tapak pelupusan, kerajaan perluas pembinaan WTE

RMK13: Kurang kebergantungan tapak pelupusan, kerajaan perluas pembinaan WTE

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dilakukan dengan inisiatif swasta.

Sebelum ini, kerajaan kenal pasti 18 tapak loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) bagi perkemas pengurusan sampah, kurangkan pencemaran. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan memperluaskan pembinaan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Membentangkan RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, Anwar berkata langkah itu akan dilakukan dengan inisiatif swasta.

“Pembinaan loji WTE akan diperluas melalui kerjasama swasta untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Mei tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberitahu kerajaan mengenal pasti 18 lokasi bagi pembangunan WTE di seluruh negara yang menjadi hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi canggih dan terkini.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dilaporkan menggesa kerajaan membatalkan cadangan itu dengan mendakwanya menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan kesihatan kerana pelepasan bahan pencemar berbahaya seperti dioksin, furan, logam berat dan partikel halus.

FMT dalam laporannya memetik kenyataan ahli akademik pada 25 Mei lalu berkata WTE mampu menjana pendapatan dan mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar selain mengatasi masalah tapak pelupusan sanitari semakin terhad.

Azil Bahari Alias dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pendapatan itu merujuk hasil penjualan semula tenaga boleh diperbaharui dalam bentuk elektrik, haba atau bahan api dijana daripada pembakaran sampah secara sistematik.

Katanya, WTE juga mendorong kepada pelaburan swasta termasuk teknologi, pengangkutan dan pengurusan sisa seterusnya menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, operasi loji, pengurusan alam sekitar serta penyelidikan.

Azil yang juga dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM memberitahu teknologi WTE yang semakin berkembang pesat sebenarnya mengurangkan pencemaran dan pelepasan bahan berbahaya dengan adanya pemantauan ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.