
Perkara itu dimaklumkan bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid semasa inkues di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
“Ada sekali dalam pukul 3 atau 4 pagi, jururawat bagitahu kami, Adib meracau.
“Jadi kami jumpa dia, tengok keadaannya agak trauma. Saya pun tenangkan dia. Alhamdulillah, dia nampak sedikit tenang malam itu,” katanya.
Kassim, 64, menjawab pertanyaan peguam mewakili Kementerian Kerajaan Tempatan (KPKT) Syazlin Mansor.
Beliau merupakan saksi ke-23 dalam inkues yang diadakan untuk menyiasat punca kematian Adib, yang masuk hari ke-15.
Beliau berkata, beliau nampak Adib cedera di sebelah kanan badan.
“Kecederaan nampak ketara di sebelah kanan, ketara lebam sampai hitam dari dada ke tulang rusuk (dan) lengan sebelah kanan.
“Bila saya dekat, saya usap kepalanya. Ada benjol lebih daripada satu dan di kepalanya ada kesan luka di belakang sebelah kiri, sebelah tangan kanan ada bengkak sebesar jari (dan) ada lagi calar-calar di badan yang sudah kering,” katanya.
Kassim berkata, beliau tidak pernah tanya anaknya mengenai kecederaan itu ketika di IJN.
“Saya tahu dia trauma. Kami tidak mahu anak kami yang kritikal diajukan soalan-soalan begitu,” katanya.
Mahu dirawat di kampung
Kassim, seorang petani dari Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, Kedah, memberitahu, Adib ada meminta untuk mendapatkan rawatan di kampung.
“Saya beri keyakinan kepadanya. Saya cakap rawatan di sini terbaik dengan adanya doktor-doktor terbaik,” katanya.
Kassim memberitahu mahkamah, Adib sorang anak yang baik dan disenangi anggota keluarga.
“Semasa rawatan, dia pernah tulis tanya khabar mak dia, macam mana perbelanjaan mak dia, adik-adik dia,”katanya.
Kassim menuntut keadilan susulan kematian anaknya.
“Saya difahamkan anak saya mati di dalam satu rusuhan. Saya nak siapa-siapa yang rancang rusuhan (dan) yang ada dalam rusuhan, terlibat rusuhan diambil tindakan,” katanya.
Adib cedera semasa rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov lalu dan meninggal di IJN pada 17 Disember lalu.