Kematian Adib: Waytha, Lokman selesai saman fitnah

Kematian Adib: Waytha, Lokman selesai saman fitnah

Bekas menteri perpaduan negara itu pada 2019 memfailkan saman terhadap Lokman Noor Adam berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadapnya.

Terma penyelesaian saman P Waytha Moorthy terhadap Lokman Noor Adam tidak boleh didedahkan, kata peguam mewakili Waytha, Annou Xavier.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri perpaduan negara P Waytha Moorthy menyelesaikan saman fitnahnya terhadap Lokman Noor Adam berhubung ucapan Lokman pada 2019 yang mengaitkannya dengan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam mewakili Waytha, Annou Xavier berkata, kedua-dua pihak merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir hari ini.

Bagaimanapun, Annou berkata, terma-terma penghakiman persetujuan itu tidak boleh didedahkan.

Waytha memfailkan saman itu pada 2019, mendakwa Lokman, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya pada suatu perhimpunan tahun itu.

Beliau berkata, kenyataan Lokman itu turut dimuat naik di YouTube, KiniTV dan Sinar TV dengan tajuk, “Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib”.

Tambahnya, ia turut diterbitkan sebagai beberapa laporan berita.

Waytha mendakwa, kenyataan Lokman membayangkan beliau seorang menteri yang tidak jujur yang cuba memanipulasi penemuan bedah siasat Adib dan gagal menjalankan tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, selain mencetuskan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Adib, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018. Beliau meninggal dunia pada 17 Dis tahun sama di Institut Jantung Negara (IJN).

Inkues kematian anggota bomba itu dijalankan dari 11 Feb hingga 24 Julai 2019. Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa kematian Adib disebabkan oleh “dua atau lebih orang yang tidak dikenali”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.