Kes kematian Adib: Kabinet akan buat keputusan susulan laporan pasukan petugas khas

Kes kematian Adib: Kabinet akan buat keputusan susulan laporan pasukan petugas khas

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet akan memutuskan tindakan susulan hasil daripada laporan pasukan petugas khas menyiasat kes kematian anggota bomba itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Kabinet akan memutuskan tindakan seterusnya berhubung laporan pasukan petugas khas terhadap kes kematian anggota bomba, Adib Mohd Kassim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kabinet akan membuat keputusan berhubung laporan penuh pasukan petugas khas yang melaksanakan siasatan dan kajian terhadap kes kematian anggota bomba, allahyarham Adib Mohd Kassim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pasukan petugas khas itu sudah menyerahkan laporan berkenaan dan kini terpulang kepada Kabinet untuk membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Ya…kita sudah melaporkannya kepada Kabinet,” lapor Berita Harian.

Menurut akhbar itu, laporan berkenan sudah diserahkan dalam mesyuarat dihadiri Wan Junaidi, di ibu negara, semalam.

Pasukan petugas khas itu yang ditubuh pada Oktober tahun lalu bagi memastikan kes kematian Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mendapat keadilan, sekali gus membawa pelaku ke muka pengadilan.

Adib, mengalami cedera parah ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018. Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Dis 2018.

Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib adalah disebabkan oleh perlakuan jenayah lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.