
Kementerian Luar berkata Polis New Zealand mengumumkan setakat 9 malam waktu tempatan (4 petang di Malaysia), pemeriksaan post-mortem selesai dijalankan ke atas semua 50 mayat mangsa.
“Dua belas mangsa dikenal pasti berdasarkan kepuasan koroner dan 6 daripada jenazah yang identiti mereka dikenal pasti diserahkan kepada keluarga mereka,” kata kementerian menerusi kemas kini mengenai insiden penembakan di Christchurch Jumaat lepas.
Ia menasihatkan media dan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin mengenai status warga Malaysia yang masih hilang susulan insiden serangan tersebut.
Tiga warga Malaysia ialah antara berpuluh-puluh mangsa yang cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di 2 masjid, menyebabkan 50 orang maut ketika semasa hendak menunaikan solat Jumaat.
Kementerian Luar selanjutnya berkata Polis New Zealand memaklumkan proses menyiarkan nama-nama individu kepada orang awam berjalan dengan lancar.
“Sebaik ahli keluarga dimaklumkan, polis akan menyalurkan maklumat tersebut kepada Kementerian Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.
“MFAT kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada suruhanjaya tinggi dan kedutaan berkaitan. Maklumat akan disiarkan kepada umum oleh Polis New Zealand melalui sistem medianya,” kata kenyataan itu mengenai prosedur yang perlu dipatuhi.
Kementerian juga memohon kerjasama media dan orang awam untuk menghormati perasaan mangsa dan keluarga mereka dalam situasi yang sukar ini.
“Yakinlah, Kerajaan Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu.