Kami tetap akan saman 30 wakil rakyat lompat parti, kata Umno

Kami tetap akan saman 30 wakil rakyat lompat parti, kata Umno

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, 20 ahli Parlimen dari Sabah dan 10 dari Semenanjung akan dikenakan tindakan undang-undang.

Annuar Musa berkata, parti itu akan melantik sebuah lagi firma guaman untuk menyaman bekas wakil rakyatnya.
KUALA LUMPUR:
Umno menafikan ia menarik balik tindakan menyaman bekas wakil rakyat mereka yang melompat ke parti lain atas alasan kos tinggi.

Setiausaha Agungnya, Annuar Musa berkata, kira-kira 30 bekas wakil rakyatnya akan disaman dan senarai penuh akan diserahkan kepada sebuah lagi firma guaman yang dilantik.

“Saman akan diteruskan. Saya sudah berbincang dengan Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan) dan bendahari untuk elak kekeliruan.

“Mereka akan dapat saman mereka…20 di Sabah dan 10 di Semenanjung. Ada beberapa di Johor serta 2 di Perak dan 1 di Kedah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Umno sebelum ini dilaporkan tidak akan meneruskan saman terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti itu kerana tidak mahu menanggung kos tinggi dan ingin memfokuskan usaha pengukuhan parti.

Januari lalu, Annuar mengesahkan Umno sudah memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai PPBM.

Katanya, tindakan itu diambil kerana kemenangan mereka disebabkan Umno dan BN serta hasil kempen jentera parti.

Jumlah ahli Parlimen BN berkurangan daripada 54 orang kepada 37 orang sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.