Mahkamah khas perkahwinan bakal beroperasi Mei ini

Mahkamah khas perkahwinan bakal beroperasi Mei ini

Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah akan diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri.

Mujahid Yusof Rawa berkata proses pengoperasian Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah berada pada peringkat akhir bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak, sebelum ia dibentangkan di mesyuarat Kabinet.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang antara lain akan diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dijangka beroperasi pada Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mujahid Yusof Rawa berkata setakat ini proses pengoperasian mahkamah berada pada peringkat akhir bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung pentadbirannya, sebelum ia dibentangkan di mesyuarat Kabinet.

“Ia dah berada di peringkat akhir yang mana di pihak AG (peguam negara), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan pandangan masing-masing.

“Mungkin dalam tempoh 2 minggu lagi ia dah bersedia untuk diserahkan kepada peringkat Kabinet. Kalau sudah serahkan ke Kabinet ia makan masa 2 hingga 3 minggu sebelum diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita 2019, di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), hari ini.

Katanya pelaksanaan mahkamah tersebut menggambarkan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk membela nasib bekas isteri yang diabaikan bekas suami.

Sementara itu, Mujahid berkata 3 teras utama gagasan pentadbiran Islam di bawah kerajaan PH iaitu Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Modul Malaysia akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Katanya 3 teras tersebut telah dibincangkan, dibahaskan dan dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang pertama kali bermesyuarat pada Khamis lepas.

“Apa yang dipersetujui oleh majlis tersebut akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja. Dengan itu Raja-raja akan tahu apa yang dalam hal ehwal Islam yang dibuat oleh kerajaan baharu ini,” katanya.

Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 yang dianjurkan bersama oleh Ikim dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) membincangkan isu berkaitan wanita termasuk penglibatan wanita dalam masyarakat dan organisasi.

Turut hadir pada majlis perasmian selama sehari tersebut adalah Ketua Pengarah Ikim Azizan Baharuddin dan Presiden Ikram, Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.