
Tulisan Presiden PAS Hadi Awang bertajuk ‘Kabinet Bercampur Selera’ cuba mengulas rombakan kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menggunakan analogi halal, haram dan syubhah untuk menggambarkan gabungan politik sedia ada.
Nampaknya minda presiden PAS sekarang telah beralih kepada analogi masakan daripada analogi binatang dan haiwan. Persoalannya adakah analogi fiqh makanan sesuai digunakan untuk menilai politik kenegaraan?
Dalam kerangka Islam, jawapannya jelas. Politik negara bukan urusan dapur, dan siyasah syar‘iyyah bukan lanjutan fiqh pemakanan. Ia adalah disiplin yang mengatur kuasa, kepimpinan, keadilan dan maslahah awam, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Berkata Ibnu Taimiyah, “Tujuan kepimpinan ialah menegakkan agama dan mengurus dunia dengannya.”
Di bawah digariskan lapan kesilapan asas penulisan dan sekali gus menggambarkan kecelaruan minda presiden PAS.
1. Kesilapan asas dalam tulisan itu ialah menyamakan politik dengan hukum individu. Halal dan haram makanan bersifat qat‘i, manakala urusan politik bergerak dalam ruang ijtihad, maslahah dan realiti semasa.
Jika analogi ‘campuran makanan’ diterima, maka Piagam Madinah yang melibatkan pelbagai agama dan kaum juga boleh dianggap syubhah. Hakikatnya, Piagam Madinah adalah contoh tertinggi siyasah Islam yang mengurus kepelbagaian secara adil dan konsep Madani hari ini adalah bersumberkan semangat Piagam Madinah itu.
Qias presiden adalah Qias yang Fasid (kiasan tak terpakai) menyamakan tindakan siyasah dengan campuran makanan halal dan haram!
2. Ayat al-Quran tentang ‘jalan yang lurus’ sering dipetik untuk menggambarkan seolah-olah hanya satu pendekatan politik yang benar. Dalam konteks siyasah, tafsiran ini tidak tepat. Jalan lurus merujuk kepada nilai seperti keadilan, amanah dan kebenaran, bukan kepada satu parti atau gabungan tertentu. Islam tidak pernah menetapkan satu model politik beku untuk semua zaman dan tempat. Petikan ayat dimanipulasikan dengan minda ketaksuban adalah satu kesalahan besar dalam memahami ayat al-Quran.
3. Lebih mengelirukan apabila ayat Surah al-Mumtahanah dipetik tetapi tanpa disedari menyanggah mindanya sendiri. Sedangkan ayat tersebut secara jelas membenarkan umat Islam berlaku adil dan bekerjasama dengan pihak yang tidak memerangi agama. Dalam konteks Malaysia, Islam kekal sebagai agama Persekutuan, institusi Islam tidak diganggu dan kebebasan beragama terjamin.
Melabel semua bentuk kerjasama politik sebagai syubhah aqidah hanya mencetuskan ketakutan agama tanpa asas yang kukuh. Salah satu maksud menunggang agama adalah memetik ayat untuk selera kumpulannya manakala pada ayat yang sama dia menafikan kepada kumpulan lain.
4. Tulisan itu juga mendahulukan naratif ‘penyatuan bangsa’ sebagai asas politik Islam. Sejarah Rasulullah SAW menunjukkan sebaliknya. Baginda disokong oleh pelbagai bangsa dan ditentang oleh bangsanya sendiri. Presiden PAS mungkin lupa yang menolak peluang parti politik Melayu bersatu telah disia-siakan oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) sendiri pasca PRU baru baru ini. Itulah hikmahnya politik Islam yang meletakkan kebenaran bukan atas sesuatu kaum atau bangsa tetapi tertumpu pada paksi nilai keadilan dan perpaduan untuk kemakmuran negara.
5. Mengaitkan konsep Malaysia Madani dengan agenda ‘agama Abraham’ atau tokoh luar tanpa bukti dasar yang nyata adalah retorik yang tidak membantu. Sehingga kini, tiada perubahan aqidah negara, tiada penyatuan agama, dan tiada penghapusan kedudukan Islam. Dalam siyasah syar‘iyyah, polisi dinilai berdasarkan realiti dan kesannya, bukan sangkaan atau hipotesis kosong yang tidak berpijak di bumi nyata.
6. Lebih penting, perbincangan tentang rombakan Kabinet seharusnya dinilai melalui persoalan pokok: adakah kestabilan politik terpelihara, adakah rasuah diperangi, adakah kebajikan rakyat dijaga, dan adakah konflik kaum dapat dielakkan? Dalam kaedah fiqh, tindakan pemerintah diukur berdasarkan maslahah rakyat. Jika sesuatu keputusan mencegah mudarat yang lebih besar dan menjaga kepentingan umum, maka ia berada dalam ruang siyasah syar‘iyyah yang sah. Malangnya minda Presiden PAS melihat kemaslahatan dalam ruang lingkup sempit diri dan partinya sahaja.
7. Islam tidak mengajar kita menilai politik seperti menilai hidangan makanan. Negara tidak dibina dengan “siyasah selera”, tetapi dengan “siyasah hikmah dan amanah”. Perbezaan pandangan politik adalah lumrah, namun menjadikannya isu iman dan halal-haram hanya memecahbelahkan masyarakat malah menjurus kepada hawa nafsu bertopengkan dalil agama.
8. Siyasah syar‘iyyah bukan alat menghalalkan pembangkang atau mengharamkan kerajaan. Ia adalah disiplin untuk memelihara agama tanpa meruntuhkan negara, dan menegakkan prinsip tanpa menyalakan api permusuhan. Di situlah sepatutnya politik Islam berdiri — sebagai Politik Rahmah bukan Politik Amarah!
Mujahid Yusof Rawa adalah timbalan Presiden Amanah dan senator Dewan Negara.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.