
Bagaimanapun, bekas menteri hal ehwal agama itu berkata keputusan muktamad pelantikan sebagai anggota Kabinet akhirnya adalah hak prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Proses ini bersifat prosedur…setiap kali rombakan, kita bincang dan beri cadangan nama dan kementerian.
“Dan bila sebut Amanah sudah tentu forte kita agama, tetapi final say (keputusan akhir) tetap di tangan perdana menteri,” katanya kepada FMT, mengulas kritikan Exco Pemudanya, Azri Abdullah melabelkan rombakan Kabinet Anwar sebagai ‘pelempang kepada Amanah’.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama dan kementerian diminta Amanah sebelum pengumuman rombakan terbaharu Kabinet pada Selasa.
Mengulas dakwaan Amanah diketepikan, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan hak parti untuk mencadangkan calon namun tidak bermakna ia mesti diterima.
Beliau berkata Amanah memahami realiti politik kerana selain cadangan parti, perdana menteri juga berhak membuat pilihan berdasarkan merit, keperluan pentadbiran dan keseimbangan politik termasuk jumlah kerusi.
“Kalau dilihat secara positif, ada menyatakan perdana menteri langsung tidak menyentuh (merombak) portfolio yang disandang Amanah seperti kesihatan dan pertanian, menandakan keyakinan terhadap prestasi parti,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan pelantikan individu tertentu, termasuk tokoh bukan ahli parti, sebagai satu penghinaan kepada Amanah, sambil mengingatkan pelantikan sedemikian pernah berlaku sebelum ini.
“Ini bukan perkara baharu. Sebelum ini pun ada menteri dilantik daripada kalangan profesional atau senator yang tidak mewakili mana-mana parti.
“Maka paling utama, semua pihak perlu meletakkan prerogatif perdana menteri sebagai asas dan melihat rombakan Kabinet ini dalam perspektif lebih besar, bukan dari sudut sempit atau sentimen,” katanya.
Semalam, Azri mempersoalkan pelantikan aktivis Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dan tiada wakil parti itu dalam portfolio terbabit.
Selain Mujahid, beliau mencadangkan Anwar melantik Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda, Hasbie Muda ke jawatan terbabit.
Mujahid dan Hasbie adalah senator, manakala Suhaizan mewakili Parlimen Pulai.
Rombakan Kabinet kelmarin menyaksikan Na’im Mokhtar digugurkan sebagai menteri hal ehwal agama dan digantikan Timbalannya, Zulkifli Hasan.
Pemimpin Amanah yang kekal dengan portfolio masing-masing adalah Presiden Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan Naib Presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).