Selisih faham isu nafkah, lelaki cedera bekas isteri, anak 7 tahun

Selisih faham isu nafkah, lelaki cedera bekas isteri, anak 7 tahun

Kejadian berlaku ketika suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun menghantar anak ke rumah bekas isterinya.

Timbalan Ketua Polis Gombak Abang Kaderi Abang Wasli berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun cedera akibat ditolak bapanya sendiri dalam kejadian di Gombak malam kelmarin, dipercayai berhubung pertikaian isu nafkah.

Kejadian itu tular di media sosial sebelum polis menerima laporan pada 10.33 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Gombak Abang Kaderi Abang Wasli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 11.47 malam kelmarin.

Dalam kejadian di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang itu, ibu kanak-kanak itu turut dicederakan oleh bekas suaminya.

Abang Kaderi berkata, kejadian berlaku ketika suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun menghantar anak ke rumah bekas isterinya.

Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah, sebelum suspek bertindak agresif terhadap bekas isterinya sehingga wanita itu cedera.

“Suspek turut menolak anak perempuannya berusia tujuh tahun sehingga kanak-kanak itu terjatuh serta mengalami kecederaan di bahagian lutut,” katanya, lapor Berita Harian.

Abang Kaderi berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dengan kes kini ada peringkat siasatan lanjut pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-6740989 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.