MOF: Malaysia lulus FDI RM80.5 bilion pada 2018

MOF: Malaysia lulus FDI RM80.5 bilion pada 2018

RM26.5 bilion FDI diluluskan pada separuh pertama 2018, dan bakinya RM54 bilion pada separuh kedua.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, FDI yang dirancang syarikat pembuatan China melonjak 410.8% kepada RM19.7 bilion pada 2018 daripada RM3.9 bilion pada 2017.
KUALA LUMPUR:
Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi menggalakkan dengan RM80.5 bilion pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan bagi semua sektor pada 2018, melonjak sebanyak 48% daripada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM26.5 bilion FDI diluluskan pada separuh pertama 2018, dan bakinya RM54 bilion pada separuh kedua.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, negara turut menyaksikan peningkatan 3.2% tahun ke tahun dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi Januari 2019, iaitu lebih baik daripada konsensus pasaran sebanyak 2.3% yang ditunjukkan dalam kaji selidik Bloomberg baru-baru ini.

“Ini adalah konsisten dengan angka keseluruhan positif yang dicatatkan Malaysia dan trend itu mungkin akan berterusan dalam masa terdekat di sebalik pelbagai cabaran luaran,” katanya.

Mengulas peningkatan FDI, Lim berkata, peningkatan itu menonjolkan peranan penting dimainkan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau yang stabil, serta selamat bagi rantaian bekalan antarabangsa di tengah-tengah perang perdagangan yang berlarutan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Pastinya, FDI yang dirancang oleh syarikat pembuatan dari China melonjak 410.8% kepada RM19.7 bilion pada 2018 daripada RM3.9 bilion pada 2017.

“Pada masa yang sama, pelaburan pembuatan yang diluluskan daripada AS meningkat 184.9% kepada RM3.2 bilion pada 2018 daripada RM1.1 bilion sebelumnya,” katanya.

Selain daripada 2 gergasi ekonomi itu, Lim berkata, pelabur Indonesia juga berhasrat melabur RM9 bilion pada 2018 daripada hanya RM500,000 pada 2017, menjadikan republik itu sumber ke-2 terbesar pelaburan pembuatan asing selepas China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.