BNM tetap dasar FTFC elak institusi kewangan salah guna kuasa

BNM tetap dasar FTFC elak institusi kewangan salah guna kuasa

FTFC tetap panduan untuk penyedia perkhidmatan kewangan amal tingkah laku bertanggungjawab, kata Kementerian Kewangan.

bank negara malaysia
Dokumen dasar FTFC ditetapkan oleh BNM sebagai panduan untuk penyedia perkhidmatan kewangan layan pengguna secara adil.
PETALING JAYA:
Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan garis panduan yang jelas melalui Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh institusi kewangan

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan memandang serius isu berkaitan amalan pihak penyedia perkhidmatan kewangan (PPK), termasuk bank-bank komersial, untuk memastikan layanan yang adil dan telus bagi pengguna kewangan.

“Dokumen dasar itu menetapkan keperluan dan panduan untuk PPK melayan pengguna kewangan secara adil dengan mengamalkan tingkah laku yang bertanggungjawab dan profesional,” kata kementerian dalam jawapan bertulis, lapor Bernama.

Kementerian menjawab soalan Senator C Sivaraj sama ada bank-bank komersial dibenarkan menutup atau menamatkan akaun syarikat yang tidak terlibat dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).

Berhubung penutupan akaun individu atau syarikat, kementerian berkata, bank-bank komersial berhak menamatkan hubungan perbankan dengan pelanggan berdasarkan terma dan syarat perjanjian akaun.

Bagaimanapun, tindakan ini mesti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh BNM, berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Kementerian Kewangan berkata, secara amnya, dalam proses pengendalian akaun bank yang ditutup, institusi kewangan disaran mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang terjejas dalam tempoh yang munasabah.

“Notis ini disertakan dengan sebab penutupan akaun, contohnya pelanggaran terma dan syarat perjanjian akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.