MoF perlu dapat gambaran mendalam pelaburan domestik Khazanah, kata PAC

MoF perlu dapat gambaran mendalam pelaburan domestik Khazanah, kata PAC

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata laporan Khazanah kepada Kementerian Kewangan perlu rangkumi unjuran ekonomi, industri dan sektor yang berkaitan.

Mas Ermieyati
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin menyeru Khazanah Nasional dan Kementerian Kewangan terus mempertingkatkan tadbir urus dan tata kelola bagi meminimumkan risiko kerugian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan Kementerian Kewangan mendapatkan mendapat gambaran yang lebih mendalam mengenai pelaburan domestik Khazanah Nasional Bhd.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata laporan dana kekayaan berdaulat itu kepada Kementerian Kewangan sepatutnya merangkumi unjuran terhadap ekonomi serta industri dan sektor yang berkaitan.

Mas Ermieyati berkata laporan Khazanah kepada kementerian kewangan ketika ini hanya meliputi prestasi kewangannya dan prestasi strategik pelaburannya, termasuk perkembangan utama serta inisiatif yang sedang dan telah dilaksanakan.

Dalam kenyataan, beliau berkata PAC PAC ambil maklum usaha Khazanah untuk memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) analisis pascanilai bagi pelupusan pelaburan yang mengalami kerugian melebihi had material.

Khazanah dijangka membentangkan laporan pascanilai, yang merangkumi punca kegagalan, kepada jawatankuasa pelaksana dan lembaga pengarah, satu penambahbaikan yang mula dilaksanakan tahun lalu bagi memastikan akauntabiliti.

Mas Ermieyati berkata walaupun ujian tekanan (stress testing) sedia ada Khazanah sudah mengambil kira kejutan pasaran bukan kewangan seperti perubahan teknologi dan faktor geopolitik, ujian itu perlu diperkukuhkan bagi ia dapat bertindak proaktif dalam menyusun semula atau melupuskan pelaburan secara pantas apabila asas pelaburan berubah drastik.

Ujian tekanan ialah kaedah pengurusan risiko yang menilai bagaimana portfolio pelaburan atau institusi kewangan mungkin bertindak balas ketika kejatuhan pasaran atau ekonomi yang teruk tetapi realistik.

“Walaupun Khazanah mempunyai SOP sedia ada, PAC mengingatkan Khazanah dan Kementerian Kewangan untuk terus mempertingkatkan tadbir urus dan tata kelola secara tegas bagi meminimumkan risiko kerugian dalam mencapai mandat yang telah ditetapkan.

“PAC mengingatkan Khazanah untuk kekal berwaspada dan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dalaman bagi menghadapi sebarang perubahan drastik pada asas pelaburan,” katanya.

PAC baru-baru ini menamatkan prosiding mengenai pelaburan domestik Khazanah, susulan itu ia mengeluarkan empat syor.

Strategi pelaburan Khazanah mendapat perhatian pada Oktober lalu apabila dilaporkan dana itu dan Permodalan Nasional Bhd kerugian RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang Fashion Valet Sdn Bhd pada harga RM3.1 juta.

PAC berkata kegagalan pelaburan Khazanah dalam Fashion Valet berpunca daripada strategi omnichannel syarikat yang berisiko, kejutan pasaran luar akibat pandemik Covid-19, dan perubahan dalam tingkah laku pengguna selepas pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.