
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BHB berkata ia menyumbang kepada 4.5 sen sesaham.
Anak syarikat tidak langsung BHB, Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian untuk menjual hotel 418 bilik bertaraf 4 bintang kepada anak syarikat Hotel Royal, Every Room A Home Sdn Bhd.
Jurucakap BHB dalam kenyataan hari ini berkata penjualan hotel itu sebahagian daripada rancangan keseluruhan kumpulan Boustead untuk kembali mencatat keuntungan dengan cara menjual aset bukan strategik.
Hotel tersebut yang terletak di Jalan Bukit Bintang, menghadapi persaingan sengit di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur termasuk daripada platform dalam talian seperti Airbnb.
Persaingan itu mengakibatkan kadar penghuniannya rendah sebanyak 52% pada 2018 berbanding kadar purata penginapan hotel di Lembah Klang yang mencatatkan kira-kira 74%, kata BHB.
BHB berkata kerja-kerja pengubahsuaian juga diperlukan untuk hartanah yang berusia itu untuk kekal menarik dan berdaya saing.
Mengambil kira prospek untuk menguruskan hotel tersebut, penjualan itu menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada kumpulan tersebut.
Lokasi strategik Hotel Royale Chulan Bukit Bintang membolehkan kumpulan itu menjual hotel tersebut pada nilai premium berbanding nilai penetapan bersih, kata BHB.
Cadangan penjualan itu, bagaimanapun bersyarat, antaranya pembeli mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan serta memenuhi semua syarat dan keperluan penyenaraian yang ditetapkan oleh Singapore Exchange Securities Trading Ltd.
Cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang Julai 2019.