Wanita ditahan ketika cuba buang bayi dalam tandas

Wanita ditahan ketika cuba buang bayi dalam tandas

Suspek ditahan di wad Zon Merah Hospital Selayang untuk rawatan dan enggan memberikan kerjasama ketika ditemubual doktor.

Seorang wanita disyaki cuba membuang bayi lelaki dalam mangkuk tandas di bahagian Zon Kecemasan Hospital Selayang, petang semalam. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita yang disyaki cuba membuang bayi lelaki dalam mangkuk tandas di bahagian Zon Kecemasan Hospital Selayang petang semalam, ditahan sejurus cubaan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata kejadian pada pukul 3.00 petang itu dilihat seorang wanita pekerja kilang yang memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan.

“Tindakan saksi yang bergegas memaklumkan kepada pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan nyawa bayi yang mahu dibuang wanita itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bayi itu berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 20 tahun itu baru melahirkan anaknya dan siasatan lanjut akan dilakukan selepas wanita itu mendapatkan rawatan di hospital itu.

“Pada masa ini suspek ditahan di wad Zon Merah hospital itu untuk rawatan dan enggan memberikan kerjasama ketika ditemubual oleh doktor… dia hanya menangis sejak ditempatkan di wad Zon Merah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.