Polis kesan lelaki baju ‘Ultraman’ rakam wanita dalam tandas

Polis kesan lelaki baju ‘Ultraman’ rakam wanita dalam tandas

Suspek disyaki guna telefon bimbit rakam mangsa dalam tandas wanita di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

Tangkap layar video tular menunjukkan suspek melarikan diri selepas disyaki merakam video seorang wanita di dalam tandas di sebuah sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU:
Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai menceroboh tandas dan merakam wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 29 tahun dan bekerja sebagai jurujual mendakwa kejadian berlaku pada 6.12 petang dan suspek berbuat demikian menerusi celah pintu.

“Mangsa segera keluar dari tandas dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali berdiri memegang telefon di luar pintu.

“Mangsa sempat merakam video suspek dari belakang sebelum dia melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata siasatan awal mendapati suspek berusia dalam lingkungan awal 20-an, berambut perang, memakai T-shirt putih gambar Ultraman, berseluar jeans gelap dan memakai beg silang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTC) mendapati suspek melarikan diri melalui pintu utama pusat beli-belah ke arah Dataran Shahbandar.

“Siasatan diteruskan dengan mendapatkan rakaman penuh CCTV bagi membolehkan pengecaman wajah suspek,” katanya.

Azli berkata orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menerusi talian 09-632 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan melakukan perbuatan memalukan atau menjatuhkan maruah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.