Rakam wanita dalam tandas, penganggur didenda RM4,000

Rakam wanita dalam tandas, penganggur didenda RM4,000

Muhammad Syahmi Mat Ros didakwa melakukan perbuatan itu di dalam tandas wanita yang terletak di tingkat satu sebuah pusat membeli-belah, 20 November lalu.

kompleks mahkamah kuala terengganu
Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, selepas mengaku bersalah merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit sewaktu mangsa berada di dalam tandas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam tandas wanita yang terletak di tingkat satu sebuah pusat membeli-belah pada 6.12 petang, 20 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Husna Zukepeli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.