
Azman berkata, SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih selamat untuk proses pembelajaran murid berdasarkan maklumat status keselamatan dari bomba dan agensi berkaitan.
“Kedua-dua sekolah berkenaan akan dibuka dan beroperasi seperti biasa pada 11 Mac seperti mana makluman dalam kenyataan media Jabatan Pendidikan Johor pada 9 Mac.
“Pengetua dan guru besar dipohon untuk memanjangkan semula makluman ini kepada semua guru, ibu bapa dan murid di sekolah terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman melawat kedua-dua sekolah berkenaan dan proses pembersihan dan gotong-royong selesai dijalankan tanpa sebarang masalah, hasil kerjasama pihak sekolah, agensi kerajaan, persatuan ibu, bapa dan guru, sektor swasta dan komuniti setempat.
Azman memaklumkan 3 murid di SK Taman Pasir Putih dan 7 murid di SMK Pasir Putih masih mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Khamis lalu, 1,400 pelajar sekolah SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih diarah kosongkan kawasan sekolah, susulan ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.
Semalam, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah yang dicatat setakat 9.30 malam menyaksikan pertambahan 31 orang. Ia menjadikan jumlah mangsa terhidu gas daripada sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim meningkat kepada 79 orang.
Sahruddin juga berkata, kerja pembersihan sisa buangan kimia di sepanjang 1.3 kilometer Sungai Kim Kim akan dilakukan dalam masa terdekat.
Kontraktor berpengalaman dalam melakukan kerja pelupusan bahan kimia terjadual akan dilantik bagi melakukan pembersihan tersebut.