
Presidennya Aminuddin Awang mengakui ada sekolah mengadakan sambutan Aidilfitri besar-besaran termasuk menjemput pentadbir sekolah berhampiran, serta pegawai dari pejabat pendidikan daerah serta negeri.
“Walaupun sambutan besar begitu sekali dalam setahun, namun tidak dinafikan ia juga menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru untuk perkara-perkara yang tiada kaitan dengan tugasan profesional mereka.
“Memang diakui bahawa sambutan begini mampu memupuk perpaduan, namun sambutan secara berlebihan sudah pasti membebankan guru,” katanya kepada FMT.
Beliau mencadangkan sambutan perayaan di sekolah diadakan secara dalaman tanpa perlu melibatkan jemputan pegawai kanan pihak PPD dan JPN serta pentadbir sekolah lain.
“Apa yang penting, objektif sambutan hari raya membolehkan murid menghayati bulan kebesaran Islam, menanam sifat kemaafan, mengukuhkan perpaduan dan objektif lain dapat dicapai.
“Tanpa perlu mengadakan majlis yang berlebih-lebihan hingga membebankan guru,” katanya.
Sebelum ini, FMT melaporkan gesaan seorang ahli akademik agar KPM mengeluarkan garis panduan rasmi bagi sambutan hari raya di sekolah supaya tidak menjadi acara yang berlebihan dan akhirnya membebankan guru.
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangkitkan perkara itu selepas menerima rungutan beberapa guru yang merasakan terbeban dengan pelaksanaan sambutan raya yang terlalu besar sehingga menjejaskan fokus pengajaran.
KPM kemudian menegaskan sebarang penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah tidak seharusnya membebankan guru, murid dan warga sekolah secara keseluruhan.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata walaupun pihak sekolah dibenarkan merancang aktiviti perayaan, dengan pelaksanaannya perlu mengambil kira tugas hakiki warga pendidik, selain persekitaran sekolah masing-masing.
Menurutnya, guru besar atau pengetua diberi autonomi untuk membuat keputusan berkait isu dasar termasuk penganjuran majlis sesuatu perayaan, berdasarkan kepada situasi dan kesesuaian sekolah.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian dalam kalangan netizen dan warga pendidik yang menyuarakan keperluan untuk aktiviti luar bilik darjah dirancang dengan lebih seimbang serta diselaraskan dengan peranan utama guru sebagai pendidik.