Bersih: Lebih banyak kesalahan di Semenyih dari 5 pilihan raya sejak 9 Mei

Bersih: Lebih banyak kesalahan di Semenyih dari 5 pilihan raya sejak 9 Mei

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, ini menunjukkan 'kejahilan' PH dan BN mengenai undang-undang pilihan raya.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann (tengah) dengan pengarah, Yap Swee Seng (kanan) dan ahli jawatankuasa pemandu Alex Johnson pada sidang media hari ini.
PETALING JAYA:
Bersih 2.0 mendapati 35 kesalahan pilihan raya dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih 2 Mac lalu, mengatasi semua 5 PRK yang berlangsung sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Pengerusi Thomas Fann berkata, ini menunjukkan “kejahilan” kedua-dua PH dan BN mengenai undang-undang pilihan raya.

“Kita mahu tahu apa jadi kepada laporan yang dibuat kepada pihak berkuatkuasa dan mengapa tiada tindakan diambil ke atas kesalahan itu,” beliau memberitahu sidang media.

Sidang media itu mengumumkan laporan Bersih mengenai PRK Semenyih, di mana PH tewas kali kedua sejak membuat kejutan menumbangkan BN bagi mengambil alih pentadbiran negara.

Bersih berkata, antara kesalahan yang dilakukan di PRK Semenyih ialah memberi hadiah kepada pengundi, mempengaruhi pengundi secara tidak wajar, keganasan politik dan ucapan yang menimbulkan rasa tidak senang antara komuniti.

Menurut Fann, kesalahan pilihan raya terus dilakukan kerana tiada usaha untuk mendakwa pelaku di mahkamah.

Pihak berkuasa, katanya, mesti menjelaskan kepada masyarakat status aduan-aduan masa lalu.

Beliau memberi contoh tentang wang yang diberikan kepada penduduk semasa kempen PRK di Cameron Highlands dan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Tapi apa berlaku selepas itu? SPRM sepatutnya maklumkan kepada awam apa berlaku kepada siasatan mereka,” katanya.

Dalam PRK Semenyih, Zakaria Hanifa meraih 19,780 undi, mengalahkan Muhammad Aiman Zainali dari PH dengan majoriti 1,914.

Dua calon lagi, Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM dapat 847 undi dan calon bebas, Kuan Chee Heng, 725.

Satu lagi PRK akan berlangsung untuk merebut kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan pada 13 April, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan pada PRU lalu.

Mohamad, pemangku presiden Umno, menang kerusi itu tanpa bertanding apabila Streram Sinnasamy dari PKR tidak dibenarkan menyerah kertas pencalonannya.

Bersih berharap semua pihak berkaitan mematuhi undang-undang pilihan raya dalam kempen di Rantau.

Fann juga berharap Mohamad setuju untuk berdebat dengan calon-calon lain.

“Perdebatan bukan untuk menentukan siapa menang, siapa kalah, atau untuk memalukan sesiapa.

“Kita hendak beri platform kepada semua calon untuk memberi pandangan dan komitmen masing-masing kepada kawasan pilihan raya,” katanya.

Percubaan Bersih menganjurkan debat di kalangan semua 4 calon di Semenyih dibatalkan apabila calon BN dan PH enggan menyertainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.