Kumpulan bidas rancangan Sarawak tambah 17 DUN

Kumpulan bidas rancangan Sarawak tambah 17 DUN

Engage menyatakan Sarawak antara negeri paling banyak wakil rakyat di negara ini.

DEWAN DUN UNDANGAN SARAWAK
DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk tambah bilangan kerusi dalam DUN daripada 82 kepada 99.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan mengkritik keputusan kerajaan Sarawak untuk menambah bilangan kerusi DUN, memberi amaran langkah itu akan memburukkan ketidakseimbangan sedia ada dan membebankan sumber awam.

Pengerusi Engage, Thomas Fann, berkata kerajaan tiada justifikasi untuk menambah kerusi DUN, memandangkan Sarawak antara negeri paling banyak wakil rakyat di negara ini.

“Purata bilangan pengundi berdaftar bagi setiap kerusi DUN Sarawak adalah 23,696 berdasarkan daftar pemilih 2022.

“Sebagai perbandingan, Selangor dengan 3.6 juta pengundi hanya mempunyai 56 kerusi DUN, iaitu purata 65,676 pengundi — 2.8 kali lebih banyak daripada Sarawak.

thomas
Thomas Fann.

“Dengan menambah 17 lagi kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan 99 kerusi di Sarawak, bermakna purata bagi setiap kerusi akan menjadi 19,627 pengundi. Itu bermakna ia 1/3 daripada purata di Selangor. Dalam erti kata lain, kerajaan Sarawak menanggung kos tiga kali ganda untuk memberi perkhidmatan kepada rakyatnya berbanding Selangor,” menurut bekas ketua Bersih itu.

Fann mempersoalkan sama ada kerusi baharu itu akan menangani kekurangan wakil rakyat bagi kawasan bandar, atau hanya memburukkan ketidakseimbangan sedia ada.

“Isu yang lebih besar ialah sama ada kerusi tambahan itu akan diperuntukkan kepada 24 kawasan pilihan raya yang besar di kawasan bandar, yang kurang wakil rakyat seperti Senadin, Dudong, Tupong dan Pelawan, atau kepada kerusi kecil yang sudah mempunyai ramai wakil rakyat seperti Gedong, Sadong Jaya, Pelagus dan Kalaka,” katanya.

Beliau memberi amaran proses persempadanan semula hanya akan memburukkan persempadanan tidak sekata sedia ada, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan amalan masa lalu.

“Ini akan melanggar prinsip dalam Seksyen 2(c) Jadual 13 Perlembagaan yang menghendaki semua kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri adalah lebih kurang sama,” katanya.

Fann juga menolak tanggapan lebih banyak kerusi DUN secara automatik akan membawa kepada lebih banyak kerusi Parlimen.

“Mempercayai bahawa peningkatan kerusi DUN akan membawa kepada peningkatan kerusi Parlimen merupakan salah anggapan, kerana itu ditentukan oleh pindaan pada Perkara 46 Perlembagaan yang memerlukan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, berkata keputusan DUN Sarawak itu kelihatan bermotifkan politik.

Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar.

“Bagi saya, ia didorong oleh keinginan untuk membuka jalan bagi penciptaan lebih banyak kerusi Parlimen untuk Sarawak apabila SPR menjalankan proses persempadanan semula baharu tahun depan,” katanya.

Beliau menegaskan soal bila untuk memulakan proses persempadanan semula adalah hak prerogatif SPR.

“Jika DUN telah menambah bilangan kerusi DUN, SPR akan perlu melukis dan menyesuaikan sempadan kerusi dan perlu mencipta kerusi tambahan untuk Parlimen bagi memenuhi bilangan yang dipersetujui dalam MA63,” katanya, merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963.

Wan Ahmad juga menekankan beban kewangan yang akan ditanggung oleh negeri akibat langkah itu.

“Peningkatan bilangan kerusi akan mempunyai implikasi kewangan yang besar untuk negeri. Belanjawan untuk 17 kerusi baharu, belanjawan pembangunan, prasarana dan sebagainya akan meningkat dengan mendadak.”

Bagaimanapun, beliau mengakui mungkin ada satu manfaat daripada langkah itu.

“Satu perkara positif adalah peluang untuk pembangunan ekonomi yang pesat bagi kawasan baharu.”

DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99 dalam satu sidang khas pada Isnin.

Rang undang-undang untuk menambah bilangan kerusi DUN dibahaskan secara meluas oleh penyokong kerajaan dan dua wakil rakyat pembangkang.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.