Anwar, Xi bincang hubungan dua hala, Asean-China, perkembangan geopolitik

Anwar, Xi bincang hubungan dua hala, Asean-China, perkembangan geopolitik

Turut menjadi tumpuan dalam perbincangan ialah isu keselamatan di Laut China Selatan, selain hubungan rentas benua antara China dengan Asia Tenggara serta blok serantau lain.

XI DAN ANWAR RED CARPET BERNAMA 170425
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Presiden China Xi Jinping melintasi kawalan kehormatan di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Perbincangan mengenai hubungan Asean-China serta perkembangan geopolitik semasa antara fokus utama dalam sesi lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini.

Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata pertemuan Xi dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam di Putrajaya turut membangkitkan topik hubungan dua hala Malaysia-China dan ekonomi semasa.

“Perbincangan dua hala Malaysia dan China pada petang semalam berlangsung begitu baik sekali. Pelbagai perkara dibincangkan kedua-dua pemimpin negara dan ini merupakan lawatan negara amat berjaya.

“China, sebagai rakan dagang utama Malaysia, kita akan lihat bagaimana dapat mempertingkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia-China, sekali gus membawa manfaat kepada negara,” katanya kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Terdahulu, beliau bersama Anwar hadir mengucapkan selamat jalan kepada Xi dan delegasinya yang berlepas ke Kemboja, selepas menamatkan lawatan negara tiga hari ke Malaysia.

Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari KLIA pada 10.04 pagi tadi.

Turut menjadi tumpuan dalam perbincangan ialah isu keselamatan di Laut China Selatan, selain hubungan rentas benua antara China dengan Asia Tenggara serta blok serantau lain.

“…ini amat penting kerana dalam keadaan geopolitik tidak menentu pada masa ini, hubungan rapat antara negara-negara itu sangat penting kerana kita saling memerlukan.

“Seperti yang saya sebutkan, lawatan ini amat berjaya, bukan sahaja dari segi substantif atau inti pati perbincangan, malah dari segi urusan logistik dan persiapan yang diuruskan dengan baik.”

Xi memulakan lawatan negara Selasa lalu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ini kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertama pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Ia juga sebahagian siri kunjungan Xi ke tiga negara Asia Tenggara dan siri lawatan negara pertamanya tahun ini.

Sejak 2009, China kekal rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Tahun lalu, jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8% daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.