Cadangan kerja dari rumah, PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean dibawa ke Kabinet

Cadangan kerja dari rumah, PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean dibawa ke Kabinet

Menteri luar negeri berkata cadangan itu timbul susulan penduduk di KL dan Putrajaya terkesan penutupan jalan semasa lawatan negara presiden China ke Malaysia minggu ini.

Beberapa laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara berperingkat dari Selasa hingga hari ini bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Cadangan kerja dari rumah serta sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak Asean bulan depan serta Oktober ini akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri, kata Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, cadangan itu timbul susulan kesulitan dan kekangan dihadapi rakyat, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan dengan penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu ini.

“Saya ingin mencadangkan kepada Kabinet agar jabatan berkenaan boleh bekerja dari rumah dan sekolah pula boleh menjalankan PdPR untuk mengurangkan kesesakan serta kesulitan yang dihadapi rakyat, terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan penutupan jalan semasa lawatan Xi,” katanya kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

Terdahulu, beliau bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hadir mengucapkan selamat jalan kepada Xi dan delegasinya yang berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara tiga hari ke Malaysia.

Beberapa laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara berperingkat dari Selasa hingga hari ini bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi sempena lawatan negara Xi.

Walaupun penutupan ini bagi melancarkan aspek logistik dan keselamatan serta dimaklumkan lebih awal, situasi itu mengundang keluhan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.