MSN minta maaf dakwaan layanan buruk terhadap bekas atlet para

MSN minta maaf dakwaan layanan buruk terhadap bekas atlet para

Bekas atlet berbasikal negara, Mohamad Syazwan datang ke asrama untuk mengambil barang sewaktu atlet lain tidak berada di situ.

Mohamad Syazwan Roshdi menang pingat emas dalam acara basikal lebuh raya pada Sukan Para Asean 2017.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail memohon maaf kepada bekas atlet paralimpik berbasikal kebangsaan, Mohamad Syazwan Roshdi, 22, berhubung isu prosedur keselamatan ketika memasuki premis MSN.

Ahmad Shapawi berkata, ia merupakan prosedur biasa, khususnya pada ketika Mohamad Syazwan datang ke asrama untuk mengambil barang-barangnya sewaktu atlet lain tidak berada di situ.

“Difahamkan beliau ingin mengambil barang yang ditinggalkan dalam bilik lain dan bukannya bilik asal beliau. Sekiranya pelaksanaan prosedur keselamatan tersebut menyinggung perasaan beliau, saya bagi pihak MSN memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Syazwan dalam wawancara bersama FMT memberitahu perasaan sedihnya kerana dilayan seperti “penjenayah” oleh MSN selepas kontraknya ditamatkan, apabila beliau tidak dibenarkan masuk ke pekarangan bangunan MSN di Bukit Jalil.

“Saya nak masuk ambil barang sendiri. Nak ambil motosikal saya. Itu pun tak dibenarkan. Orang buat saya seperti penjenayah. Pengawal keselamatan (ditugaskan) ikut saya,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan MSN tidak meneruskan kontraknya, Ahmad Shapawi berkata, ini kerana selepas Sukan Para Asean 2017 dan penilaian semasa pada tahun lalu, beliau tidak menunjukkan peningkatan prestasi.

Katanya, perbincangan sudah dilakukan dengan 4 orang jurulatih berbasikal paralimpik, bermula dari ketua jurulatih Johari Nayan, pembantu jurulatih Salehuddin Mohd Noh, Mohd Fitri Marzuki dan Iqbal Sokri mengenai potensinya dalam program MSN.

“Bagi menghadapi pertandingan acara trek yang tidak akan memberi kelebihan kepada beliau, maka statusnya sebagai atlet berbasikal paralimpik dibincangkan bersama 4 orang jurulatih berbasikal para.

“Kesemua jurulatih sebulat suara tidak mengekalkan beliau di dalam program atas sebab prestasi beliau tidak menunjukkan peningkatan walaupun sudah diberi peluang.

“Pandangan jurulatih tersebut sudah dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemilihan Atlet Para bagi Program Latihan 2019 yang melibatkan MSN, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia ( PKBM) dan Institut Sukan Negara (ISN), Jawatankuasa Pemilihan bersetuju dengan cadangan jurulatih tersebut,” katanya.

Menjawab dakwaan bekas atlet berkenaan bahawa beliau tidak diberikan kelengkapan cukup untuk bertanding, Ahmad Shapawi menjelaskan, atlet para memang tidak disediakan basikal secara persendirian untuk acara trek.

“Tetapi basikal yang sedia ada akan digunakan atlet lain mengikut kesesuian saiz atlet. Beliau ada dibekalkan dengan basikal untuk acara lebuh raya memandangkan beliau pada asalnya adalah pelumba acara itu.

“Beliau menggunakan basikal trek disediakan MSN pada kejohanan yang disertai dalam acara trek, termasuk atlet lain. Beliau diberi peluang menyertai pertandingan pada Kejohanan Dunia Trek UCI Los Angelas pada Mac tahun 2017.

Ahmad Shapawi juga berkata, ia bertujuan untuk klasifikasi kategori Syazwan, selain menyertai Temasya Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dan Kejohanan ACC 2018 di Nilai.

“Jawatankuasa pengelola Sukan Para Asean 2017 turut berjaya menganjurkan acara lebuh raya yang melibatkan kategori Syazwan dan ekoran itu beliau berjaya mendapatkan pingat emas untuk negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.