Marina bersuara isu wang ganjaran anugerah sukan tak disalur kepada atlet

Marina bersuara isu wang ganjaran anugerah sukan tak disalur kepada atlet

Bekas olahragawati negara itu jelaskan, dasar terdahulu ditetapkan untuk elak status atlet bertukar profesional, jejas kelayakan sertai temasya amatur.

Bekas olahragawati negara Marina Chin cadang agar MSN bersama NSA keluar kronologi rasmi mengenai kaedah salur wang ganjaran Anugerah Sukan Negara sejak mula.
PETALING JAYA:
Bekas olahragawati negara Marina Chin berkata, ketika beliau menerima anugerah pada 1976 dan 1977, dasar ketika itu menetapkan bahawa atlet amatur tidak dibenarkan menerima wang ganjaran secara langsung.

Beliau tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa penerima Anugerah Sukan Negara pada era beliau tidak menerima ganjaran kewangan seperti dijanjikan, yang dilaporkan sebelum ini.

Marina berkata, dasar tidak memberikan wang ganjaran secara langsung kepada atlet ditetapkan bagi mengelak status mereka bertukar menjadi atlet profesional, sekali gus menjejaskan kelayakan menyertai temasya bertaraf amatur.

“Sehubungan itu, peruntukan kewangan disalurkan terus kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) masing-masing untuk tujuan pembangunan bakat, program latihan dan penyertaan pertandingan,” katanya menambah, perkara tersebut difahami dan tidak pernah dipersoalkan ketika itu.

Terdahulu dilaporkan Malaysia Athletics akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu tunggakan wang ganjaran kepada legenda olahraga negara yang berlarutan berdekad lamanya, susulan pendedahan FMT.

Menurutnya, pasukan yang akan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) itu akan menyemak senarai atlet terlibat, mengesan rekod kewangan dan menentukan nilai semasa anugerah RM5,000 yang tidak dilunaskan itu.

Laporan FMT sebelum ini mendedahkan, sekurang-kurangnya 10 atlet ternama negara, termasuk Dr Mani Jegathesan, M Rajamani, Junaidah Aman dan V Subramaniam, tidak pernah menerima ganjaran wang tunai RM5,000 selepas dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati negara antara 1966 hingga 1982.

Marina hari ini berkata, isu itu bukanlah masalah yang perlu ditangani Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada masa kini kerana ia berkenaan dasar dan amalan terdahulu.

Sebarang isu berkaitan pembayaran atau perubahan dasar hanya boleh disahkan melalui rekod rasmi MSN serta persatuan sukan yang terbabit, tambahnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar MSN bersama NSA mengeluarkan kronologi rasmi mengenai kaedah penyaluran wang ganjaran sejak penganjuran Anugerah Sukan Negara bermula.

Kronologi itu haruslah turut menyatakan tarikh perubahan dasar kepada pemberian terus kepada atlet, tambahnya.

“Jika hasil semakan mendapati terdapat kekurangan atau tuntutan yang sah, langkah pembetulan wajar diambil secara terhormat.

“Saya percaya dengan ketelusan, jasa legenda sukan negara bukan sahaja dapat dihormati tetapi warisan sukan juga dapat dipulihkan serta terus dihargai generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.