Tiada silambam pada Sukma 2026, Yeoh minta jangan main isu kaum

Tiada silambam pada Sukma 2026, Yeoh minta jangan main isu kaum

Menteri belia dan sukan berkata, keputusan pilih sukan untuk dipertandingkan hak mutlak negeri penganjur.

generic silambam
Hannah Yeoh akui timbulnya kekecewaan berikutan pengecualian acara silambam pada Sukma 2026, namun menurutnya, ada juga beberapa sukan lain yang tidak disenaraikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa orang ramai agar tidak menjadikan pengecualian seni bela diri tradisional kaum India, silambam, daripada Sukma 2026 sebagai isu perkauman, menegaskan bahawa keputusan itu hak mutlak negeri penganjur.

“Jawatankuasa Sukma telah bermesyuarat dan Selangor sebagai negeri penganjur telah membuat keputusan untuk memilih beberapa sukan yang mereka kira penting untuk mereka.

“Dan ini bukan hanya Selangor, setiap Sukma kita boleh lihat negeri penganjur bebas memilih sukan yang mereka nak.

“Yang saya minta, kita jangan mainkan isu perkauman apabila bincang tentang sukan,” katanya kepada pemberita.

Beliau mengakui timbulnya kekecewaan berikutan pengecualian acara silambam, namun menegaskan bahawa terdapat juga beberapa sukan lain yang tidak disenaraikan.

“Apa yang kita boleh buat untuk Majlis Sukan Negara (MSN), kita sedang pertimbangkan untuk anjurkan kejohanan bukan Sukma. Seperti yang anda tahu, bukan sahaja silambam tidak dipilih – muay thai juga tidak dipilih. Tetapi tak ada isu perkauman yang dimainkan,” katanya.

Pada Selasa, Yeoh berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikannya meluluskan penampilan e-sukan, catur, kriket dan kabaddi pada kejohanan itu di Selangor tahun depan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kepada 30 jenis sukan. Selain itu, empat sukan tambahan diluluskan untuk Sukma 2026, menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan nanti,” katanya menambah, keputusan itu muktamad dan sebarang rayuan tambahan tidak akan dilayan.

Sementara itu, Ketua Biro Seni dan Budaya Pemuda PKR Gopiraj Nair mengkritik pengecualian sukan itu daripada Sukma, dengan berkata langkah itu ‘menafikan kepentingan warisan budaya tempatan’.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menyangkal dakwaan bahawa kaum India cukup diwakili dalam arena sukan lain seperti kabaddi dan karate, justeru silambam tidak perlu diberi ruang.

“Setiap sukan warisan memiliki nilai dan identiti tersendiri, dan silambam merupakan satu-satunya seni bela diri (kaum)India yang mempunyai struktur pembangunan akar umbi yang mantap di Malaysia,” katanya.

Kaji semula format Sukma

Yeoh berkata hari ini, kerajaan sedang mengkaji format Sukma untuk memastikan kesinambungan dan konsistensi yang lebih baik dan berterusan dalam pembangunan atlet.

“Kita sekarang ada 103 jenis sukan. Kita sudah mula bincang model Sukma yang berbeza. Selepas Selangor, Kelantan (akan jadi tuan rumah). Selepas Kelantan, tamat kitaran di mana semua negeri telah jadi penganjur.

“Selepas itu, jawatankuasa sedang mempertimbangkan supaya Putrajaya ataupun MSN jadi penganjur, tak ada lagi penganjuran oleh negeri,” katanya.

“(Ini) supaya kita ada konsistensi, semua sukan yang akan ditandingkan, bagi kita ruang untuk kaji, untuk pastikan kesinambungan itu wujud, dan carta ataupun ‘pathway’ untuk pembangunan atlet itu wujud dengan konsisten.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.