
Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan selaku badan induk FAM bertanggungjawab menguruskan NFDP dan bersedia memacu pelaksanaannya ke tahap lebih tinggi demi melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.
“Walaupun berdepan kekangan termasuk soal dana, FAM sudah bersedia mengambil alih NFDP jika diminta. Sebagai badan induk, kami mempunyai peranan besar dalam pembangunan akar umbi bola sepak negara.
“Pembangunan bola sepak sememangnya di bawah FAM. Tidak boleh ada dua entiti mengurus perkara sama kerana ia akan menimbulkan ketidakselarasan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Khairy dipetik sebagai berkata NFDP wajar kekal bawah kendalian Majlis Sukan negara (MSN) buat masa ini kerana FAM dan persatuan negeri didakwa masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih tanggungjawab berkenaan.
Bagaimanapun, Yusoff berkata FAM terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan demi memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
“Segala teguran boleh dijadikan panduan untuk menambah baik NFDP. Yang penting, kita bersama-sama mencari input positif untuk meningkatkan mutu dan kualiti program ini,” katanya.
Sebagai rekod, NFDP dilancarkan pada 10 April 2014 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, sebagai program pembangunan menyeluruh untuk remaja berusia tujuh hingga 17 tahun di seluruh negara.
Ia merangkumi akademi tunas lelaki dan wanita, pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri serta akademi peringkat zon.