Saksi takut apabila keretanya dilanggar bomba

Saksi takut apabila keretanya dilanggar bomba

Saksi berkata, jentera bomba mengundur sehingga terlanggar van EMRS dan kemudian melanggar keretanya

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, dia berasa takut apabila sebuah jentera bomba melanggar keretanya selepas melihat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dilanggar di hadapannya.

K Arumugam berkata, dia sedang dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Shah Alam pada malam 27 November lalu.

Katanya, semasa dia memandu dekat Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, dia ternampak van EMRS berada di hadapannya sebelum dilanggar oleh jentera bomba sehingga van itu ditolak ke tepi jalan.

“Tetapi semasa jentera bomba itu sedang mengundur, saya tidak sangka jentera bomba itu akan terus mengundur dan melanggar kereta saya. Saya ingat mereka sedang mencari laluan untuk bergerak tetapi terus melanggar kereta saya.

“Jentera bomba bergesel di bahagian hadapan dan sisi kiri sehingga kereta terpusing ke belakang dan berada pada arah bertentangan,” kata saksi ke-11 dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Selepas dilanggar jentera bomba, Arumugam cuba keluar dari kereta tetapi pintunya tidak boleh dibuka.

“Saya tidak ingat sangat apa yang berlaku, tapi saya dibantu oleh beberapa orang dan berjaya keluar dari kereta.

“Saya dalam keadaan gelabah dan kelam-kabut, terus masuk balik dalam kereta dan selepas setengah jam, baru dapat tenangkan diri,” katanya, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hanzah.

Dia kemudian dihampiri pemandu trak penunda dan dibantu menarik keretanya ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan.

Selepas itu, Arumugam, yang tidak mempunyai telefon bimbit ketika itu, dibantu oleh orang awam pulang ke rumah menggunakan Grab.

Ditanya sama ada dia nampak sesiapa turun dari van EMRS ataupun jentera bomba, dia mengatakan dia tidak nampak.

“Saya nampak beberapa orang sahaja di luar kereta. Saya tak nampak ada sesiapa mengganggu jentera bomba. Tumpuan (saya) hanya pada jentera yang sedang mengundur.

“Saya tak tahu van EMRS di mana. Saya tak ingat apa yang berlaku sebab berasa pening ketika itu. Saya tidak tahu jentera bomba pergi mana,” katanya.

Arumugam berkata, dia hanya nampak ada beberapa orang sedang bergerak dan mengelilingi keretanya.

“Kerosakan kereta buatkan saya takut dan terkejut. Saya tak keluar pun tengok keadaan kereta. Saya duduk dalam kereta sahaja selama hampir setengah jam,” katanya.

Ditanya sama ada dia nampak seorang anggota bomba cedera dan diangkat keluar, dia berkata tidak nampak.

Adib, anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

Inkues disambung Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.