
Hakim Suraya Othman, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, mahkamah memerlukan lebih masa untuk membincangkan rayuan pendakwa raya terhadap soalan undang-undang dalam kes yang difailkan oleh keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap kerajaan.
Tambahnya, ia adalah keputusan penting yang akan menjadi duluan bagi mahkamah rendah.
“Melihat kepada penghujahan, kami berasa kami memerlukan lebih banyak masa,” kata Suraya.
Hakim lain yang bersidang bersamanya adalah Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah.
Pada 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam membenarkan bapa Adib, Mohd Kassim Mohd Hamid memulakan prosiding komital terhadap Tommy Thomas dengan mendakwa bekas Peguam Negara itu tidak menghormati mahkamah dengan memfailkan afidavit yang menyatakan kematian Adib bukan berpunca daripada kecederaan disebabkan perbuatan seseorang.
Inkues kematian Adib diadakan dari 11 Feb 2019 hingga 24 Julai 2019. Mahkamah kemudiannya memutuskan kematiannya disebabkan oleh “lebih daripada dua orang yang tidak diketahui”.
Adib, yang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis tahun yang sama di Institut Jantung Negara (IJN).
Susulan rayuan Thomas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga itu untuk memulakan prosiding penghinaan. Bagaimanapun mahkamah mengekalkan keputusan bahawa Mahkamah Koroner mempunyai kuasa untuk memulakan prosiding penghinaan.
Mahkamah rendah boleh putuskan prosiding penghinaan, kata peguam keluarga
Awal hari ini, peguam keluarga Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah bahawa mahkamah rendah seperti Mahkamah Koroner mempunyai kuasa untuk memulakan dan memutuskan prosiding penghinaan.
“Bagaimanapun kuasanya untuk menghukum individu yang tidak menghormati prosiding yang sedang berjalan adalah terhad.
“Mahkamah rendah hanya boleh menjatuhkan hukuman denda maksimum RM150 atau penjara tiga minggu,” katanya.
Haniff berkata, kerajaan telah tersilap dengan mengatakan Mahkamah Koroner bukan sebahagian daripada struktur mahkamah rendah.
“Akta Mahkamah Rendah jelas memberi kuasa kepada koroner untuk mengambil tahu sebarang bentuk penghinaan, sama ada di hadapan mahkamah atau melalui usul,” katanya.
Sementara itu, Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Thomas berkata, Mahkamah Koroner tersilap ketika membenarkan permohonan keluarga itu untuk prosiding komital.
“Kes kami hari ini bukan penghinaan di hadapan mahkamah. Koroner mengambil alih dan memutuskan untuk memberi kebenaran bagi prosiding penghinaan.
“Kaedah sedemikian untuk menggerakkan mahkamah memulakan (prosiding) penghinaan dikhaskan untuk mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.