
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu, berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mac lalu, selepas kerajaan negeri mengambil kira bantahan penduduk setempat.
Menurutnya, Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang sudah mengemukakan permohonan baharu bagi tapak gantian.
“Bagaimanapun, pihak persatuan hanya akan diberikan kelulusan untuk membina bangunan sempurna sebaik mendapat kelulusan kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam sesi jawab lisan Dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau menjawab soalan Adun Taman Medan, Afif Bahardin berhubung isu kuil tidak berlesen di Selangor.
Februari lalu, kira-kira 80 penduduk PJS 2 di Taman medan membantah keputusan kerajaan negeri meluluskan pemindahan sebuah kuil dari PJS 4 ke kawasan didiami majoriti penduduk Melayu Islam.
Afif yang mewakili kumpulan itu, menuntut libat urus awam diadakan kerana tiada rundingan dengan wakil rakyat, penduduk serta peniaga yang terkesan secara langsung.
Papparaidu yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor turut mengakui proses pemindahan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) seperti kuil perlu ditangani lebih awal dengan melibatkan wakil rakyat serta pemimpin tempatan bagi mengelakkan kontroversi.
Jelasnya, kerajaan negeri perlu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) supaya isu pemindahan tapak rumah ibadat dapat diselesaikan lebih teratur dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Dalam isu ini, mungkin saya terlepas pandang. Tapak (cadangan PJS 4 sebelum ini) adalah tapak RIBI, tetapi memandangkan penduduk sekitar tidak setuju, kita menghormati keputusan ataupun cadangan bantahan yang telah dikemukakan, sebab itu kita telah tukar tapak itu ke tapak baru.”
Berhubung dakwaan lebih 600 kuil bermasalah di Selangor, katanya, angka itu perlu diperincikan kerana bukan semua struktur terbabit adalah kuil, sebahagiannya mungkin hanya “shrine” atau pondok penyembahan kecil.
Beliau berkata, pejabatnya merekodkan kira-kira 178 kes berkaitan isu RIBI yang memerlukan penyelesaian dan pendekatan kerajaan negeri bukan sekadar penguatkuasaan, sebaliknya mencari penyelesaian menang-menang melalui rundingan bersama semua pihak.
Papparaidu turut mengakui bukan semua kuil atau “shrine” yang dibina tanpa kelulusan boleh diberikan tapak gantian disebabkan kekangan tanah di Selangor, sebaliknya kerajaan negeri akan mengutamakan penempatan semula secara bersepadu di kawasan sesuai.