
Firma guaman yang mewakili keluarga itu, Tetuan Mohd Zubir Embong berkata, keluarga Adib dan Jabatan Peguam Negara telah menarik balik rayuan masing-masing di mahkamah.
“Susulan daripada arahan keluarga arwah Adib agar rayuan bapanya ditarik balik, pihak peguam, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan notis menarik balik rayuan pada 31 Mei 2022,” kata firma itu dalam kenyataan.
“Ini diikuti dengan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa (ia) turut menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
“Pihak keluarga arwah Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas / Jabatan Peguam Negara selesai dan tamat di sini.”
Ia juga berkata, keputusan keluarga itu untuk menarik balik rayuan tidak bermakna polis harus berhenti memburu mereka yang bertanggungjawab atas kematian Adib, dengan menyatakan bahawa siasatan jenayah tidak mempunyai had masa.
Jabatan Peguam Negara sebelum ini memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari bahawa Mahkamah Koroner Shah Alam mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran memulakan prosiding terhadap Thomas berhubung tuduhan menghina.
Keluarga Adib turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Thomas mempunyai hak untuk merayu dan mengetepikan kebenaran yang diberikan kepada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding penghinaan terhadapnya.
Bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan ex parte perintah komital terhadap Thomas kerana didakwa menghina mahkamah melalui pemfailan afidavit oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April 2019, yang menyatakan kematian Adib bukan disebabkan kecederaan disebabkan oleh seseorang.
Kassim juga menuduh Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, melakukan penghinaan dengan mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019 ketika inkues sedang berjalan.
Pada 27 Sept 2019, koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa “lebih daripada dua orang yang tidak dikenali” telah membunuh Adib, yang meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya selepas ditugaskan ke tempat kejadian rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov 2018.
Adib, 24, anggota bomba dan penyelamat di Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.