
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Anuar Zainal Abidin berkata, pihak Pengarah Tanah dan Galian Perak telah mengarahkan peneroka haram yang terlibat untuk membaiki semula struktur tanah bagi mengelakkan sebarang hakisan cerun di kawasan berkenaan.
“Arahan itu merangkumi pembinaan saliran longkang dan penanaman semula pokok bagi mengelakkan daripada berlakunya hakisan cerun.
Bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan terkawal, pihak MB Inc juga telah menempatkan anggota polis bantuan bagi memantau keadaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Katanya arahan itu dikeluarkan susulan penemuan aktiviti penerokaan haram di tanah seluas kira-kira 10 hektar milik MB Inc dan kerajaan negeri berhampiran Bukit Kledang.
Semalam, Anuar mengesahkan wujud aktiviti penerokaan tanah haram berhampiran bukit berkenaan melibatkan sebahagian dari tanah hak milik perbadanan berkenaan.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih kawasan penerokaan haram tersebut.
Beliau berkata, pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan tanah yang telah diratakan bagi tujuan perladangan kelapa sawit itu.