
Ini saya petik laporan Malaysiakini semalam. Kisah seorang ibu tunggal berusia 48 tahun. Wan Fatin Suriyanie Wan Ahmad namanya.
Setiap petang waktu rush hour traffic di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur, beliau berada dihadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) berseorangan membantah genosid di Gaza. Saya ulangi setiap petang seorang diri. Sekarang sudah lebih 16 petang berturut turut beliau memprotes.
Setiap petang selama 10 minit. Tanpa bosan tanpa putus asa.
Memalu periuk belanga dan melaung ‘Stop killing babies! What’s wrong with you?’ dan ‘people of the world wake up’. Kepada AS mesej beliau: “US you are funding a genocidal regime”. Kata Wan Fatin beliau tidak boleh duduk diam dan berpeluk tubuh terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.
Adakah mesej Wan Fatin sampai ke White House? Mungkin tidak. Tetapi, setidak-tidaknya tentu pegawai kedutaan tahu apa yang berlaku di hadapan pejabat mereka setiap petang. Sama ada protes Wan Fatin dimasukkan dalam laporan mereka ke Washington, wallahu a’lam. Kalau ada pun dalam laporan adakah AS tidak akan lagi membantu Israel? Kita tahu jawapannya tidak.
Jadi, adakah apa dilakukan Wan Fatin kerja sia-sia? Tidak sama sekali. Mungkin protesnya kecil tetapi pada segi simbolisme ia sarat mesej dan makna. Sesungguhnya, tabik hormat kepada beliau.
Saya akui ada pada kalangan rakyat negara ini yang pandang enteng usaha bantah keganasan di Gaza. Bukan mereka tidak marah regim Tel Aviv. Bukan mereka tidak sedih dan terguris perasaan melihat pembunuhan dan kebuluran berlaku.
Namun, tidak yakin usaha boikot perniagaan yang dikatakan ada kaitan Israel akan berjaya hentikan keganasan. Tidak yakin juga akan himpunan protes diadakan. Begitu juga pendirian kerajaan dan suara lantang anti-Zionis.
Mereka kata kerja sia-sia. Kita negara kecil. AS dan Israel tidak peduli. Begitu kata mereka. Ada juga yang yakin, tetapi sekadar hangat tahi ayam.
Namun banyak pesanan telah kita dengar. Contoh terbaru khutbah Jumaat 22 Ogos yang disediakan Jakim bertajuk ‘bangkit membela teguh bersaudara’.
Antara intipatinya: “Umat Islam wajib sedar dan bangkit memperjuangkan nasib penduduk Gaza dengan segala bentuk kekuatan yang ada. Inilah masanya untuk menghentikan segala kezaliman dengan kekuatan dari sudut penyampaian maklumat di media sosial, politik, ekonomi, diplomatik, dan sebaganya”.
Dan menurut khutbah itu lagi: “Membantu Palestin merupakan tuntutan iman. Pertolongan itu pula luas bentuknya – sama ada bantuan harta, makanan, ubat, dukungan diplomasi bahkan doa pada setiap masa”.
Itu saranan buat umat Islam. Tetapi, usaha membantu Palestin dan gerakan antikekejaman Zionis di Malaysia ada juga disertai orang bukan Islam. Kerana apa yang berlaku di Gaza adalah krisis kemanusiaan bukan soal agama semata mata.
Dan kerana itu jugalah semakin ramai orang di seluruh dunia pelbagai agama dan yang tidak ada pegangan agama bangkit memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin serta menentang kezaliman dan keganasan Israel.
Kerajaan negara mereka juga yang dahulu menyokong Israel sudah mula bertindak sebaliknya. Banyak negara juga sudah bersedia mengiktiraf sebuah negara Palestin yang bebas merdeka. Ini tidak pernah berlaku pada masa lampau.
Ini dilakukan bukanlah kerana ikut apa yang Malaysia lakukan. Sebaliknya, mereka bangkit kerana sedar apa yang Israel lakukan sesuatu tidak berkeperikemanusiaan. Mereka juga sudah marah dan bosan. Ini terjadi kerana tersebar dengan meluas apa yang dilakukan Israel di Gaza.
Dalam pada itu, ada pula seorang dua wartawan lama kenalan saya yang kata genosid di Gaza tidak akan berlaku jika Hamas tidak menyerang Israel 7 Okt 2023. Jujur kata, saya pelik kerana selama ini saya anggap mereka ini golongan yang ‘knowledgeable’.
Hamas ada sebab atau alasan untuk lakukan serangan. Saya tidak mahu ulas sama ada alasan mereka wajar atau tidak.
Yang ingin dijelaskan ialah jika Hamas tidak lancar serangan 7 Okt mungkin benar genosid kita lihat sekarang tidak akan terjadi. Tetapi, pembunuhan rakyat Palestin tetap berlaku juga.
Daripada Nakba hingga tahun kebelakangan, setiap hari di Gaza dan Tebing Barat ada sahaja rakyat Palestin dibunuh. Sama ada oleh tentera Israel atau kumpulan peneroka. Jumlah dibunuh berbelas hingga ke puluhan dan ratusan.
Keganasan Israel dijalankan secara konsisten, dan jangan lupa penangkapan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak serta segala bentuk penindasan. Saya ulangi ini berlaku setiap hari.
Dan pada waktu tertentu keganasan memuncak dan cetuskan operasi besar-besaran (baca perang). Off and on. Seperti Operation Iron Cast Lead 2008-2009. Ada gencatan senjata ada pencabulannya. Tidak sedahsyat genosid sekarang, namun tetap dahsyat.
Memang hasrat Israel mahu menghapuskan rakyat Palestin dan menawan buminya. Ini rancangannya sejak dahulu. Kena tengok sejarah. Untuk kata genosid tidak akan berlaku jika Hamas tidak melancarkan serangan 7 Okt agak simplistic dan naive.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.