Kes bunuh Farah Kartini: Polis jumpa telefon dalam parit

Kes bunuh Farah Kartini: Polis jumpa telefon dalam parit

Unit penyelam polis menemukan telefon pintar dalam parit di ladang kelapa sawit, ketika mencari bukti.

Nur Farah Kartini
Unit penyelam polis menemukan telefon pintar tengah hari tadi dalam operasi pencarian bukti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menemukan telefon dalam operasi mencari bahan bukti dalam siasatan kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Nur Farah Kartini Abdullah.

Telefon pintar itu ditemui unit penyelam polis dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, tengah hari tadi selepas operasi kira-kira sejam.

Operasi pencarian bukti ini melibatkan unit forensik IPK Selangor dan Bukit Aman, serta unit anjing pengesan selain unit penyelam.

Fokus pencarian di tali air berhampiran lokasi penemuan mayat mangsa, lapor Buletin TV3.

Media sebelum ini melaporkan mayat Farah yang hilang sejak Rabu lepas, ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang pada petang Isnin. Gadis berusia 25 tahun berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun, yang juga anggota polis bertugas di Perak, direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang merupakan seorang anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Dia juga dibawa ke lokasi kejadian hari ini.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, memaklumkan seramai 26 orang saksi, termasuk kenalan mangsa dan suspek dipanggil dan dirakam percakapan.

Beliau menambah polis tahu mangsa dan suspek saling mengenali.

“Sejauh mana perhubungan itu kita masih dalam siasatan lagi dan motif masih dalam siasatan,” katanya lapor Buletin TV3, pada sidang media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.