Pembeli rumah nikmati 10% diskaun, dikecuali duti stem untuk 6 bulan

Pembeli rumah nikmati 10% diskaun, dikecuali duti stem untuk 6 bulan

Guan Eng harap pemaju tawar diskaun lebih tinggi

PETALING JAYA:
Tempoh 6 bulan akan datang adalah masa yang baik untuk pembeli rumah memiliki rumah impian mereka.

Pemaju perumahan bersetuju menawarkan 10% diskaun sebagai sebahagian Kempen Pemilikan Rumah (HOC) awam-swasta 2019.

Untuk tempoh kempen 6 bulan itu hingga Jun, pembeli akan turut dikecualikan duti stem untuk rumah kediaman berharga antara RM300,000 dan RM1 juta.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia, dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan anjur expo hartanah di KLCC dari 1 hingga 3 Mac sempena kempen tersebut.

Hartanah berharga antara RM150,000 dan RM2.5 juta akan ditawarkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang hadir di sidang media Rehda itu berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif dalam Bajet 2019 untuk memudahkan lagi golongan B40 dan M40 memilik kediaman.

“Ini termasuk inisiatif seperti dana RM1 bilion untuk rumah mampu milik dilancar 2 hari lalu.

“Hari ini kita mengumumkan pengeculian duti stem untuk pembeli rumah kali pertama untuk kediaman berharga hingga RM1 juta.

“Kempen dengan Rehda ini bertujuan mengurangkan bekalan rumah yang menghalang pasaran, dengan pemaju tidak dapat menjual hartanah mereka.

“Diskaun oleh pemaju ini, sekali dengan pengecualian duti stem kerajaan, merupakan formula menang-menang,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin, Presiden Rehda Soam Heng Choon dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HOC, NK Tong.

Lim berharap pemaju-pemaju akan menawarkan diskaun lebih tinggi.

“Saya harap bukan sekadar 10% tapi sekurang-kurangnya 15 ke 20%. Ia akan menambah oomph kepada kempen tersebut,” katanya.

Pengecualian duti stem, kata Lim, merupakan tindakan susulan oleh kerajaan selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan utama seperti batu, simen dan pasir, di samping perkhidmatan pembinaan.

Semua inisiatif ini, katanya, bertujuan mengurangkan harga rumah.

Beliau mengumumkan pengeculian duti stem untuk pembelian rumah berharga sehingga RM1 juta oleh pembeli kali pertama.

Katanya, pengecualian ini juga mengurangkan kadar harga rumah hingga RM2.5 juta.

“Untuk RM1 juta yang pertama, duti stem dikecualikan. Untuk baki harga, duti stem sebanyak 3% akan dikenakan,” katanya.

Sebelum ini, pembeli rumah perlu membayar duti stem 1% untuk RM100,000 pertama, 2% untuk RM100,000 hingga RM500,000 yang menyusul dan 3% untuk RM500,001 hingga RM1 juta,

Lim berkata, duti stem untuk perjanjian pinjaman juga dikecualikan, berbanding dengan kadar 0.5 % dulu.

Malaysia menyaksikan kenaikan bekalan hartanah tidak terjual, iaitu sebanyak 30,115 dalam suku ketiga tahun lalu.
Ini merupakan kenaikan 48% dari tempoh yang sama pada 2017.

Berdasarkan data oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), ini melibatkan RM19.5 bilion.

“Dengan kempen ini, kerajaan Pakatan Kerajaan berharap dapat mengurangkan bekalan rumah yang tidak terjual.

“Ini akan memberi impak positif pada kedudukan kewangan negara dan menjana pertumbuhan ekonomi sihat,” katanya.

Badan-badan kerajaan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pemaju UDA Holdings Berhad, Perbadanan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan juga menyertai expo tersebut.

Expo itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di KLCC pada 1 Mac.

Expo serupa akan juga diadakan di seluruh negara, seiring dengan expo berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.