
Pengerusinya Mohd Azmi Mohd Lila berkata bagaimanapun, pihaknya sentiasa memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk melangsaikan hutang dan sehingga kini belum ada dikenakan tindakan berat.
“Kita kena faham, SPNB perlu menunaikan amanah yang telah dimandatkan…kami perlu kerjasama peminjam terdahulu untuk patuh kepada jadual bayaran semula, demi kebaikan peminjam kemudian hari yang memerlukan dana dari sumber yang sama.
“Isu culas (bayar) memang ada, tetapi boleh dikatakan tidak banyak dan terkawal. SPNB komited menguruskan masalah ini agar tidak meruncing, sekali gus memberikan kesan besar terhadap bantuan pinjaman yang telah disalurkan sejak 2002,” katanya pada sidang media di Blok Q Sawah Sempadan, di sini hari ini.
Azmi berkatal, SPNB tidak menghalang peminjam yang juga pemilik unit RMR mengubah suai kediaman, tetapi mereka seharusnya tidak alpa dengan tanggungjawab melunaskan hutang seperti yang dipersetujui.
Beliau berkata, SPNB merangka pelbagai kaedah untuk membantu peminjam culas menyelesaikan hutang secara berhemah.
“Sebenarnya SPNB sudah cakna dengan isu ini sejak awal, sebab itu kami merangka pelbagai kaedah sesuai buat peminjam, termasuk kaedah gadaian tanah dan moratorium selama lima tahun yang membolehkan mereka menyelesaikan keseluruhan pinjaman secara total.
“Namun, sehingga kini kami berjaya menyelesaikan masalah tanpa perlu mengambil semula rumah atau tanah mereka secara baik mengikut perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.
Terdahulu, Azmi menyerahkan sebuah rumah baharu siap dibina bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPNB kepada Muhamad Zulhadi Mispar, iaitu mangsa kebakaran sebuah kediaman di sini pada 26 Mei.
Difahamkan, Zulhadi, 27, dan tujuh ahli keluarganya yang lain kini menumpang di sebuah inap desa di kawasan berdekatan, menerima sumbangan rumah daripada SPNB secara penuh tanpa perlu membuat bayaran balik.
Untuk rekod, sejak 2002 hingga Ogos tahun ini, SPNB yang merupakan agensi bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), membina 73,167 unit RMR di seluruh negara dengan 3,814 unit daripadanya dibina di Selangor.