Harga RON95 tanpa subsidi diapung selepas Oktober

Harga RON95 tanpa subsidi diapung selepas Oktober

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata RON95 kekal RM2.60 seliter bulan ini bagi beri keselesaan kepada rakyat susulan program BUDI95.

Petrol 95
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata pada bulan depan harga RON95 tanpa subsidi akan diapungkan mengikut mekanisme harga automatik sama seperti sama seperti diesel dan RON97.
KUALA LUMPUR:
Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi pada kadar RM2.60 seliter dikekalkan sepanjang Oktober sebelum ia diapungkan mengikut pasaran global, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

Amir berkata harga tersebut dikekalkan untuk tempoh sebulan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai susulan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Katanya, pada bulan depan RON95 tanpa subsidi akan dikemaskini mengikut harga pasaran pada setiap minggu sama seperti diesel dan RON97 berdasarkan mekanisme harga automatik.

“Jika (harga pasaran) naik, harganya akan naik, jika turun, harganya juga akan turun sama,” katanya selepas melancarkan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara di Bukit Kiara.

Dalam perkembangan sama, Amir memaklumkan seramai 1.5 juta pengguna telah menerima manfaat daripada pelaksanaan awal BUDI95 bermula Sabtu lalu.

Mulai hari ini, setiap rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan dapat membeli minyak RON95 pada kadar RM1.99 seliter, menerusi BUDI95.

Warga asing perlu membayar harga minyak tanpa subsidi manakala kenderaan berdaftar luar negara tidak boleh membeli petrol RON95.

Sementara itu, Amir berkata kementerian bakal menerbitkan hasil Tinjauan Perbelanjaan dan Pendapatan Isi Rumah (HIES) terbaharu sebelum akhir Oktober ini dijangka menunjukkan pertumbuhan positif dari segi pendapatan rakyat dan kemajuan terhadap sasaran kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

Katanya, hasil tinjauan itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri terlebih dahulu sebelum langkah selanjutnya diambil kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.