
Johan Mahmood Merican berkata, RUU itu berdasarkan amalan terbaik di peringkat global dan membolehkan tindakan diambil terhadap bekas pegawai yang telah bersara atau meninggalkan perkhidmatan awam.
“Malah, (menteri kewangan) pun tertakluk kepada kesalahan di bawah RUU ini. Apa yang kami lakukan dalam RUU berkenaan bukannya meluaskan kuasa menteri, tetapi meletakkan kuasa tersebut bawah undang-undang,” katanya semasa taklimat media secara maya.
RUU tersebut yang bertujuan meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaan awam, menerima kritikan kumpulan masyarakat sivil kerana didakwa memberi terlalu banyak kuasa kepada menteri kewangan.
Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, berkata kebimbangan utama ialah budi bicara luas diberikan kepada menteri, seperti membolehkan menteri kewangan atau ketua menteri mengecualikan ‘peruntukan sekali beri’ kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun daripada RUU itu.
Institut pemikir itu berkata, RUU tersebut juga membenarkan menteri kewangan menentukan kaedah perolehan selain daripada bidaan kompetitif, sekali gus meninggalkan keputusan terbuka kepada pengaruh politik.
RUU Perolehan Kerajaan diluluskan di Dewan Rakyat semalam dalam undi belah bahagi, dengan 125 Ahli Parlimen menyokong.
Kuat kuasa awal 2026, kemungkinan ditambah baik
Johan berkata, RUU berkenaan sebaik sahaja diluluskan oleh Dewan Negara dan digazetkan, dijangka berkuat kuasa awal tahun depan selepas pekeliling dan peraturan Perbendaharaan berkaitan dikemas kini.
“Apa yang dihasrat dilaksanakan di bawah RUU ini akan disusuli arahan Perbendaharaan dan pelbagai garis panduan,” katanya.
Johan berkata, beberapa bahagian peraturan boleh disesuaikan berdasarkan maklum balas Parlimen. “Contohnya, jika seorang Ahli Parlimen meminta nama syarikat yang disenarai hitam untuk diterbitkan, kami akan menelitinya,” katanya.
Katanya, perbicaraan tribunal di bawah undang-undang perolehan akan diadakan secara tertutup, tetapi keputusan akan dizahirkan kepada umum.
Beliau berusaha meredakan kebimbangan ahli tribunal akan dipilih oleh menteri kewangan, sambil menyatakan ahlinya tidak akan terdiri daripada penjawat awam, manakala pengerusi dan timbalan pengerusi mestilah berasal daripada perkhidmatan kehakiman atau perkhidmatan undang-undang.
“Ahli-ahli yang lain juga tidak boleh terdiri daripada penjawat awam yang sedang berkhidmat, bagi memastikan sekurang-kurangnya bebas daripada kementerian. Mereka juga mesti menunjukkan pengalaman atau keupayaan dalam bidang kewangan dan perolehan dan sebagainya.
“Kami percaya ini memberikan tahap kebebasan diperlukan untuk meneliti dan mengeluarkan aduan daripada pasukan perolehan serta mana-mana kementerian atau pihak yang terlibat,” katanya.
Johan berkata, akan ada peraturan senarai hitam yang lebih ketat di bawah undang-undang baharu itu, dan mereka didapati bersalah boleh dikenakan larangan dengan bantuan agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Beliau berkata, kontraktor yang jujur tidak perlu bimbang mengenai undang-undang tersebut, tetapi mereka yang melanggar peraturan seharusnya berwaspada. “Tujuannya bukan untuk membebankan, tetapi untuk memperbaiki tadbir urus.”