PRK Cameron Highlands: Peti undi pertama dibawa menaiki helikopter ke pusat penjumlahan

PRK Cameron Highlands: Peti undi pertama dibawa menaiki helikopter ke pusat penjumlahan

SK Lemoi mempunyai satu saluran mengundi dengan 231 pengundi berdaftar dan ditutup tepat pukul 1 petang.

Peti undi pertama tiba di pusat penjumlahan undi di SMK Sultan Ahmad Shah menaiki helikopter.
CAMERON HIGHLANDS:
Peti undi pertama dari pusat daerah mengundi Sekolah Kebangsaan Lemoi dibawa menaiki helikopter ke pusat penjumlahan undi di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmah Shah, di sini, sebentar tadi.

SK Lemoi mempunyai satu saluran mengundi dengan 231 pengundi berdaftar dan ditutup tepat pukul 1 petang. Peti undi tesebut dibawa menaiki helikopter tepat pukul 2.22 petang dan tiba di SMK Sultan Ahmad Shah 30 minit kemudian.

Suasana sekitar SMK Ahmad Shah dan keseluruhan proses mengundi PRK Cameron Highlands setakat petang ini tenang tanpa sebarang masalah, kecuali di pusat mengundi SKJC Brinchang di mana berlaku sedikit kekecohan apabila penasihat DAP Lim Kit Siang memasuki kawasan larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut SPR, sehingga jam 3 petang peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 66%.

Seramai 31,639 pengundi di Cameron Highlands memilih wakil Parlimen mereka hari ini selepas 14 hari berkempen.

Empat calon yang bertanding adalah daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran; bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN); serta 2 calon Bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Semua 29 pusat mengundi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai dibuka tepat pukul 8 pagi ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 29 pusat mengundi itu yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; 5 (2 petang); 9 (3 petang); satu (3.30 petang); 7 (4 petang) dan 6 (5.30 petang).

SPR menyasarkan 70% pengundi keluar mengundi hari ini dan menjangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan 3 pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.