‘The Botaks’ terima jemputan sertai Yakult’s Global Cup

‘The Botaks’ terima jemputan sertai Yakult’s Global Cup

Pusingan akhir kejohanan akan diadakan di Melaka, 15 peserta terbaik akan dikumpulkan untuk beraksi di Kejohanan Bola Sepak Global Cup yang akan diadakan di Osaka, Jepun.

“The Botaks” mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah gerangannya mereka ini.

Namun bagi yang mengikuti perkembangan kanak-kanak cilik ini, mereka bukanlah baru.

Bagi pembaca yang masih ingat gambar sekumpulan kanak-kanak berbaju biru, berdiri gagah tanpa gentar seperti berani menyahut segala cabaran mendatang pernah menjadi bualan.

Bagi yang baru mengikuti kisah The Botaks, kanak-kanak ini sebenarnya adalah murid sekolah, ataupun lebih tepat lagi adalah pasukan bola sepak S.K Lemoi yang terletak di Cameron Highland.

Kisah mereka mula menjadi tumpuan apabila kelab liga sosial, The Ohana FC meneruskan misi khidmat masyarakat pasukan tersebut apabila melancarkan projek #ProjekKasutBolaOhana.

Sasaran projek oleh The Ohana FC ini adalah untuk membantu pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Lemoi – sebuah sekolah kawasan pedalaman di perkampungan orang asli yang dikhabarkan hanya mempunyai purata 100 orang pelajar sahaja.

Namun, ia langsung tidak menghalang pasukan bola sepak sekolah tersebut untuk meraih kejuaraan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) 2019 sekaligus mewakili daerah Cameron Highland ke peringkat negeri.

Dengan kelengkapan bola sepak yang sangat minimum, set jersi sudah lama dipakai serta lebih menyedihkan kasut bola para pemain juga telah lusuh jelas tidak meruntuhkan semangat mereka.

Selain itu, pihak SK Lemoi juga turut menerima satu set jersi pasukan serta keperluan latihan seperti bola, kon ‘marker’, pintu gol untuk latihan dan lain-lain lagi.

Rezeki The Botaks tidak terhenti di situ sahaja, mereka juga mendapat jemputan daripada SportsFlex Event dan Media untuk menyertai Yakult’s Global Cup.

Yakult’s Global Cup adalah sebuah pertandingan bola sepak untuk peringkat umur bawah-12 tahun melibatkan bakat-bakat terbaik dari seluruh negara yang telah dibahagi kepada empat zon, iaitu, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Melaka.

Pusingan akhir kejohanan akan diadakan di Melaka, dan 15 peserta terbaik akan dikumpulkan untuk beraksi di Kejohanan Bola Sepak Global Cup yang akan di adakan di J- Green Sakai, Osaka, Jepun pada 14 hingga 16 September 2019 ini.

Kejohanan ini dilihat sebagai peluang untuk anak-anak Lemoi ini menampilkan bakat mereka.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.