
Beliau berkata, pemilihan baharu hanya akan dilaksanakan di bahagian Hulu Selangor yang mana pemilihan berkenaan dibatalkan susulan ketiadaan kemudahan mengundi dan logistik disediakan kepada ahli.
Bagi bahagian lain pula, Zaliha berkata, gangguan teknikal itu merujuk sama ada gangguan sudah diperbaiki atau tetapan pengundian ditukar kepada pengundian fizikal menerusi peti undi.
Bagaimanapun, katanya, pemilihan semula akan dilaksanakan di bahagian terjejas sekiranya mendapat bantahan daripada ahli di kawasan masing-masing.
“Kami perlu bercakap dengan bahagian terjejas yang mengemukakan bantahan. Sekiranya memerlukan pengundian semula, kami akan melakukannya.
“Sekiranya tiada bantahan, saya beranggapan tiada masalah membabitkan keputusan (pemilihan parti),” katanya kepada FMT, hari ini.
Zaliha berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini, yang memetik kenyataannya berhubung lapan bahagian PKR di empat negeri akan melakukan pemilihan semula susulan gangguan teknikal dan salah komunikasi.
Lapan bahagian terjejas itu membabitkan lima di Kelantan, serta masing-masing satu di Terengganu (Dungun), Kedah (Padang Serai) dan Selangor (Hulu Selangor).
Beliau berkata, pemilihan semula di Hulu Selangor dijangka diadakan sebelum penghujung bulan ini. “Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat akan membuat keputusan berhubung perkara itu.”
Ditanya perincian gangguan teknikal berlaku ketika proses pengundian, Zaliha berkata, peranti tablet pengundian di beberapa pusat tidak lancar beroperasi, dan peranti perlu nyala semula (rebooted) berulang kali, sekali gus menjurus kepada JPP mengambil keputusan menggunakan kertas pengundian bagi proses pemilihan.
Katanya, walaupun berlaku gangguan teknikal dan pemilihan baharu di Hulu Selangor, pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan akan kekal berlangsung, esok.
“Kami akan mencuba sebaik mungkin mengumumkan keputusan pemilihan secepat mungkin selepas pemilihan berakhir hari ini.”
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya berlaku keputusan seri dalam mana-mana persaingan, calon dibenarkan membuka peti undi dan melihat sendiri keputusan.