
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata laporan itu perlu diserahkan kepadanya Isnin depan untuk diteliti, sebelum keputusan dibuat.
“Saya juga hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sebab arahan adalah jelas kerana kerajaan baru Pakatan Harapan tidak menggalakkan guna mekanisme dan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya.
“Saya sudah suruh perkara ini disiasat. Tapi semua projek kerajaan di semua tempat akan diteruskan,” katanya selepas merasmikan prapelancaran “Science Fair for Young Children (SFYC) 2019” hari ini.
Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin dalam kenyataan semalam memohon maaf atas kesilapan itu susulan pemasangan papan tanda projek pembangunan yang berlogo jabatan itu dan “Harapan Baru Malaysia” serta mengarahkan kontraktor menurunkan papan tanda terbabit serta-merta.
Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan kemudian, Waytha berkata, kerajaan sudah mengeluarkan arahan tegas supaya amalan kempen ala Barisan Nasional menggunakan jentera kerajaan tidak diguna pakai dalam mendorong orang ramai atau kemungkinan melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kita akan menyiasat sama ada kejadian ini yang berlaku di 3 kampung di Bertam Valley, Cameron Highlands, merupakan satu sabotaj dalaman atau kerja pihak luar untuk memberi gambaran negatif terhadap kerajaan PH,” kata menteri yang bertanggungjawab terhadap Jakoa itu.
Mengulas majlis hari ini, Waytha berkata, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program pendidikan boleh memohon bantuan kewangan daripada kerajaan, bagaimanapun ia akan memeriksa program itu terlebih dahulu untuk memastikan sokongan kewangan akan digunakan dengan optimum dan mencapai sasaran.
“Saya benar-benar berharap dengan sokongan daripada kerajaan, mereka akan dapat berkembang dan sampai kepada lebih ramai kanak-kanak, terutamanya dari kawasan luar bandar dan kita perlu memberi mereka peluang untuk mengambil bahagian dalam pameran sains ini.”
Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi (Asti) selaku penganjur SFYC, menganggarkan peruntukan kira-kira RM800,000 diperlukan untuk mengadakan pameran sains itu tahun ini di 3 peringkat, iaitu sekolah, zon dan kebangsaan.
Dimulakan pada 2007, SFYC adalah program tahunan yang diadakan dalam kalangan sekolah Tamil di negara ini untuk menggalakkan dan memperkuatkan pembelajaran sains.