
Peguam Nicholas Yap berkata, Hakim Alice Loke turut mengarahkan Waytha memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar untuk membatalkan saman itu selewat-lewatnya pada 30 Nov, manakala Anwar boleh mengemukakan jawapan balas pada 19 Dis.
Kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis dan jawapan mereka sebelum 23 Jan, kata Yap selepas prosiding dalam talian yang diadakan hari ini.
Anwar turut diwakili peguam Ranjit Singh, manakala Karthig Shan bertindak sebagai peguam bagi Waytha.
Peguam persekutuan Sallehuddin Ali pula hadir mewakili Jabatan Peguam Negara sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).
Anwar dalam permohonannya berhujah bahawa saman tersebut pada asasnya merupakan cabaran langsung terhadap keputusan pilihan raya 2022 bagi kerusi Tambun di Dewan Rakyat.
Presiden PKR itu berkata tindakan Waytha melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa keputusan pilihan raya hanya boleh dipersoalkan melalui petisyen pilihan raya.
Anwar turut mendakwa bahawa saman itu secara jelas tidak dapat dipertahankan, tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah terhadap beliau, bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Waytha memfailkan saman itu pada 14 Ogos, bagi mendapatkan deklarasi bahawa pengampunan diraja Anwar pada 2018 tidak menyatakan bahawa beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas dibebaskan dari penjara.
Presiden Parti Kemajuan Malaysia mahu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022 dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian terbatal dan tidak sah.
Beliau yang juga bekas menteri berhujah bahawa Anwar tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan kerana sabitan dan hukuman jenayahnya.
Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, memberikan pengampunan penuh kepada Anwar atas tiga kes melibatkan salah guna kuasa dan tuduhan liwat, dengan alasan berlaku ‘kepincangan dalam keadilan’.
Ketika itu, Anwar memberitahu sidang media, pengampunan itu turut diberikan atas dasar wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan dan membunuh karakter politiknya.