BN menang besar di Cameron Highlands, Ramli jadi ahli Parlimen Orang Asli pertama

BN menang besar di Cameron Highlands, Ramli jadi ahli Parlimen Orang Asli pertama

Ini adalah kemenangan pertama BN dalam 5 PRK yang diadakan selepas PRU14 tahun lalu dengan majoriti lebih banyak, iaitu 3,238 undi.

Ramli Mohd Nor mengangkat tangannya selepas diumumkan SPR sebagai pemenang dalam PRK Cameron Highlands, malam ini.
CAMERON HIGHLANDS:
Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertama dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas pilihan raya umum lalu, dengan calonnya, Ramli Mohd Nor mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN hari ini adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.

Ini juga adalah kekalahan ke-3 berturut-turut Manogaran di Cameron Highlands sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Kemenangan Ramli diumumkan Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Sebanyak 68.79% pengundi keluar mengundi sehingga semua pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi, hampir dengan jangkaan 70% SPR, tetapi lebih rendah daripada 79% yang dicatatkan pada PRU14, Mei tahun lalu.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai 32,008 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 34.4% pengundi Melayu, Cina (29.8%), India (14.8%) dan lain-lain kaum (20.9%).

Cameron Highlands ialah kerusi tradisi BN yang diwakili MIC. Bagaimanapun, parti itu mengambil langkah berani mempertaruhkan Ramli sebagai calon langsung yang tidak mewakili mana-mana parti.

PRK diadakan hari ini selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 terbatal dan tidak sah, apabila mendapati berlaku rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi, calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud (3,587 undi), calon Parti Sosialis Malaysia, B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81 undi).

Ini adalah PRK ke-5 selepas PRU14, susulan PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.